Wednesday, 10 August 2011

03. QIRAAT, RIWAYAT, TARIQ DAN SANAD

Saya menyebut secara khusus nama Imam Syatibi dalam penulisan saya ini adalah kerana ianya menjadi tujuan utama saya iaitu mengutarakan Hukum-Hukum Tajweed sebagaimana yang disebut sendiri oleh Imam Syatibi atau pandangan-pandangan yang bersumberkan darinya walau pun dalam beberapa bab saya mempunyai pandangan saya sendiri. Saya melihat antara kecelaruan Hukum Tajweed adalah kerana ‘Ilmu Tajweed yang diajar di mana sahaja secara umumnya tidak bersumberkan dari Imam Syatibi sedangkan majoriti rakyat dalam negara ini membaca mengikut Tariq Syatibi. Antara yang paling ketara ialah berkaitan dengan Hukum Panjang Pendek dan juga Hukum Tebal Nipis. Oleh itu terlebih dahulu saya ingin menyebut secara ringkas kedudukan Imam Syatibi dalam ‘Ilmu pembacaan AlQuran ini.

Bacaan AlQuran yang diamalkan di seluruh dunia pada hari ini sebagaimana yang dicatat oleh kebanyakan pengumpul ‘Ilmu Qiraat adalah bersumberkan dari lapan orang Sahabat selepas RasuluLLAH SallaLLAHU ‘alayhi wasallam (selepas ini diringkaskan dengan SAW). Mereka adalah AmirulMu'minin Sayyidina ‘Umar AlKhattab, AmirulMu'minin Sayyidina ‘Uthman bin ‘Affan, AmirulMu'minin Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib, Zayd bin Thabit, Ubayy bin Ka‘ab, Abdullah bin Mas‘ud, Abu Musa AlAsy‘ari dan AbudDarda' RadhiyaLLAHU ‘anhum ajma‘in.

‘Ulama merumuskan bacaan yang sahih ialah sekiranya menepati tiga syarat, iaitulah pertamanya Sanad yang sah, keduanya bertepatan dengan kaedah nahu ‘Arab dan ketiganya ejaannya menepati Resam ‘Uthmani. Maka terhasillah tujuh QIRAAT (disebut Qiraat Tujuh2) atau sepuluh qiraat (Qiraat Sepuluh3) yang mana salah satunya ialah Qiraat ‘Asim. Nama penuhnya ialah Abu Bakr ‘Asim bin AbinNajud (ada yang menambah bin Bahdalah) AlAsadi AlKufi. Beliau meninggal pada tahun 127 hijrah. Beliau merupakan seorang Tabi‘in dan ada meriwayatkan hadith. Jadi ‘Asim adalah salah seorang Imam Qiraat samada Qiraat Tujuh atau Qiraat Sepuluh, dan Qiraatnya dipanggil Qiraat ‘Asim. Imam ‘Asim menerima bacaan dari tiga orang guru. Pertamanya Abu ‘AbdurRahman ‘Abdullah bin Habib AsSulami, keduanya Abu Maryam Zirr bin Hubaisy dan ketiganya Abu ‘Amru Sa‘ad bin Ilyas AsySyaybani. Ketiga-tiga mereka ini mengambil bacaan dari Abdullah bin Mas‘ud radhiyaLLAHU ‘anhu (selepas ini akan diringkaskan dengan RA). AsSulami dan Zirr mengambil bacaan juga dari Sayyidina ‘Uthman dan Sayyidina ‘Ali radhiaLLU ‘anhuma. Manakala AsSulami berguru lagi dengan Zayd bin Thabit dan Ubay bin Ka‘ab radhiaLLU ‘anhuma.

AlJazari (AbulKhayr Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin ‘Ali bin Yusuf AlJazari, meninggal 833 hijrah) menghimpun dan merumuskan bahawa Imam ‘Asim membawa 128 tariq bacaan dari RasuluLLAH melalui guru-gurunya tadi yang diperturunkan ke bawah melalui dua orang muridnya iaitu Abu Bakr Syu’bah bin ‘Iyasy dan Abu ‘Umar Hafs bin Sulaiman AlKufi. Kedua-dua mereka ini diistilahkan sebagai perawi, dengan kata lain mereka meriwayatkan bacaan Imam ‘Asim. RIWAYAT adalah periwayat bacaan dari Imam yang tidak semestinya murid langsung dari Imam tersebut. Periwayat bacaan selepas Rawi diistilahkan sebagai TARIQ. Terdapat beberapa peringkat Tariq. Dari Imam ‘Asim, Syu’bah membawa tujuh puluh enam tariq manakala Hafs membawa lima puluh dua tariq, mengikut apa yang dikumpulkan oleh AlJazari4. Di sana mungkin terdapat banyak lagi tariq-tariq lain yang dibaca oleh Imam ‘Asim melalui Tariq-Tariq yang lain seperti Tariq Makki bin Abi Talib5 bagi Bacaan Hafs.

Lima puluh dua tariq Hafs diperturun ke bawah melalui Abu Muhammad ‘Ubayd bin AsSabah bin Subayh (dua puluh empat tariq) dan Abu Hafs ‘Amru bin AsSabah bin Subayh  (dua puluh lapan tariq). Jadi ‘Ubayd dan ‘Amru diistilahkan sebagai Tariq juga. Dari ‘Ubayd, bacaan diperturun pula kepada AlUsynani, tetapi tidak dinisbahkan apa-apa tariq kepadanya. Melalui AlUsynani, bacaan ‘Ubayd diperturunkan kepada AbulHasan ‘Ali bin Muhammad AlHasyimi (sepuluh tariq) dan Abu Tahir ‘AbdulWajid bin Abi Hasyim (empat belas tariq). Jadi AlHasyimi dan Abu Tahir juga disebut Tariq. Terdapat lima orang membawa bacaan dari AlHasyimi, iaitulah AbulHasan Tahir bin ‘AbdulMun‘im bin Ghalbun (empat tariq), ‘AbdusSalam (dua tariq), AlKaruzaini (dua tariq), AlBalkhi (satu tariq) dan AsSuzanjardi (satu tariq). Dari empat tariq yang dibawa oleh Ibnu Ghalbun, satu dinisbahkan kepadanya sendiri, satu kepada Abu ‘Amru ‘Uthman bin Sa‘id AdDani, satu kepada AbulHasan ‘Ali bin Ballimah dan satu lagi kepada AbulQasim AlQasim bin Firruh bin Khalaf bin Ahmad ArRu‘ayni AlAndalusi AsySyatibi (meninggal 590 hijrah). Ini bererti dari hampir 1000 tariq yang bersumber dari RasuluLLAH dan 128 tariq melalui Imam ‘Asim manakala lima puluh dua tariq dibawa oleh Hafs, hanya satu tariq dibawa oleh Syatibi. Secara spesifik tiada satu tariq pun dinisbahkan kepada AlJazari dari mana-mana Imam Qiraat. Dengan kata lain AlJazari tidak mempunyai tariqnya sendiri. Beliau hanya mengumpul tariq-tariq dari kitab terdahulu termasuk Tariq Syatibi sebagaimana juga Abu ‘Ubayd AlQasim bin Salam, Syihabuddin AlQastallani dan lain-lain lagi yang mengusahakan pengumpulan. Usaha pengumpulan yang dilakukan oleh AlJazari adalah berasaskan kepada lebih kurang empat puluh buah kitab bermula (mengikut turutan masa) dari KitabusSab‘ah karangan Abu Bakr Ahmad bin Musa bin Mujahid yang meninggal pada tahun 324 hijrah dan yang terakhir ialah kitab AlBustan karangan IbnulJundi yang meninggal tahun 769 hijrah. Kesemua nama-nama tariq dinisbahkan kepada pengarang-pengarang kitab tersebut.

Imam AlJazari hanya menghadkan kepada dua Rawi bagi setiap Imam, dua Tariq bagi setiap Rawi dan dua Tariq pula bagi setiap Tariq tersebut dan selepas itu beliau tidak menghadkannya lagi. Perlu difahami bahawa dalam satu Tariq terdapat beberapa tariq-tariq lain pula yang di bawahnya. Sebab itu saya istilahkan sebagai peringkat Tariq. Ini bermakna bagi setiap Imam terdapat dua Rawi dan empat Tariq pada peringkat pertama dan lapan Tariq bagi peringkat kedua. Sekiranya terdapat tariq-tariq lain yang tidak melalui tariq yang telah dihadkan olehnya, tidak akan dimasukkan ke dalam kitabnya walau pun ianya terdapat dalam kitab 'pemilik' tariq tersebut bagi bacaan Imam-Imam yang lain. Jadi dari sepuluh Imam Qiraat yang dihimpunkan, terdapat dua puluh Rawi, empat puluh Tariq peringkat pertama dan lapan puluh Tariq peringkat kedua. Dalam sususan AlJazari, kedudukan Imam Syatibi jauh lebih terkemudian dari Tariq peringkat keduanya yang akan saya terangkan nanti dalam sanadnya. Jadi sebenarnya secara spesifik tidak terdapat Tariq AlJazari. Setiap tariq membawa variasi bacaan yang berlainan, dan tiada satu variasi bacaan pun yang dinisbahkan kepada AlJazari. Kalau boleh disebut Tariq AlJazari maka Tariq Syatibi juga merupakan sebahagian dari Tariq AlJazari kerana Tariq Syatibi juga merupakan salah satu tariq yang dikumpul dan dirumuskan dalam kitabnya AnNasyru dan juga dalam matannya TayyibatunNasyri. Tariq Syatibi pula dirumuskan dalam matannya bernama AlHirzulAmani waWajhutTahani yang dinamakan juga sebagai Matan AsySyatibi.

SANAD pula adalah sandaran. Iaitu bacaan yang bersandar secara tali-menali sampai ke RasuluLLAH hingga ke Lawh Mahfudz. Sanad Imam Syatibi bagi bacaan kita sekarang yang disebut dengan Bacaan Tariq Syatibi adalah seperti berikut :

Imam Syatibi (590H) mengambil bacaan dari AbulHasan ‘Ali bin Muhammad bin Huzil (564H), mengambil bacaan dari Abu Dawud Sulaiman bin Najah (496H), mengambil bacaan dari Abu ‘Amru ‘Uthman bin Sa‘id AdDani (444H), mengambil bacaan dari AbulHasan Tahir bin ‘AbdulMun‘im bin Ghalbun (399H), mengambil bacaan dari AbulHasan ‘Ali bin Muhammad AlHasyimi (368H); yang merupakan salah seorang Tariq peringkat kedua bagi Imam ‘Asim dalam susunan AlJazari. AlHasyimi mengambil bacaan dari Abul‘Abbas Ahmad bin Sahl AlUsynani (307), mengambil bacaan dari Abu Muhammad ‘Ubayd bin AsSabah (235H); yang merupakan salah seorang Tariq peringkat pertama bagi Imam ‘Asim dalam susunan AlJazari. ‘Ubayd mengambil bacaan dari Abu ‘Umar Hafs bin Sulayman AlAsadi (180H); yang merupakan Rawi kedua bagi Imam ‘Asim (selepas Syu'bah). Hafs mangambil bacaan dari Abu Bakr ‘Asim bin AbinNajud AlKufi (127H); salah seorang Imam Qiraat. Imam ‘Asim mengambil bacaan dari Abu ‘AbdurRahman ‘Abdullah bin Habib AsSulami (73H), mengambil bacaan dari AbulHasan ‘Ali bin Abi Talib KarramaLLAHU Wajhah AmirulMu'minin; mengambil bacaan dari AbulQasim Muhammad bin ‘Abdullah SAW ARRASUL; mengambil bacaan dari Jibril ‘AlayhisSalam, mengambil bacaan dari Lawh Mahfudz, dari ALLAH Subhanahu WaTa‘ala. Oleh itu bacaan kita bersumberkan dari Sayyidina ‘Ali yang merupakan seorang sahabat dari lapan orang yang saya sebutkan di awal tadi.

Rumusan dalam bab yang dibincangkan ini ialah; dalam Qiraat Tujuh terdapat empat belas Riwayat, dalam Qiraat Sepuluh terdapat dua puluh Riwayat dan hampir 1000 Tariq.

Bacaan yang ramai di kalangan kita amalkan sekarang adalah bacaan Imam ‘Asim, Riwayat Hafs melalui Tariq Syatibi. Adalah tidak memadai jika disebut Tariq Syatibi sahaja kerana ia berkemungkinan yang dimaksudkan bukan bacaan Imam ‘Asim atau bukan Riwayat Hafs. Juga tidak memadai jika disebut Bacaan Imam ‘Asim sahaja kerana berkemungkinan yang dimaksudkan ialah Riwayat lain atau Tariq lain. Begitu jugalah tidak memadai dengan hanya menyebut bacaan Riwayat Hafs sahaja kerana terdapat lima puluh dua tariq di bawahnya.

Adalah baik juga jika saya sebutkan bahawa Mushaf AlQuran yang banyak digunakan sekarang adalah Mushaf yang ditulis atau dicetak dan ditanda mengikut Bacaan Imam ‘Asim, Riwayat Hafs memalui Tariq Syatibi. Dengan lain perkataan, seseorang itu boleh membaca Qiraat ‘Asim, Riwayat Hafs, Tariq Syatibi dengan sempurna dengan berpandukan tanda-tanda bacaan dalam mushaf tersebut. Oleh yang demikian jika seseorang itu berhasrat untuk membaca Qiraat lain, atau bacaan ‘Asim riwayat lain atau pun bacaan ‘Asim Riwayat Hafs tetapi Tariq lain, maka ia perlu mengetahui hukum-hukum Tajweed bacaan tersebut sebelum boleh menggunakan Mushaf sekarang sebagai bacaannya kerana tanda-tanda bacaannya berbeza. Dengan lain perkataan, jika pihak pencetak mushaf AlQuran ingin supaya AlQuran boleh dibaca menurut Qiraat lain, atau Riwayat lain atau pun Tariq lain, maka perlulah dicetak mushaf-mushaf lain dengan tanda-tanda yang memenuhi disiplin Hukum-Hukum Tajweed bacaan tersebut. Setakat yang saya tahu, terdapat empat jenis mushaf yang dicetak mengikut khat bacaan asalnya; pertamanya mushaf untuk Bacaan Imam ‘Asim, Riwayat Hafs Tariq Syatibi (paling banyak), keduanya Bacaan Imam Nafi’, Riwayat Qalun (saya tidak pasti Tariqnya kerana belum lihat mushaf tersebut [cetakan Libya]), ketiganya Bacaan Imam Nafi’, Riwayat Warsy Tariq Syatibi dan keempatnya Bacaan Imam Abu ‘Amru, Riwayat AdDuri Tariq Syatibi (Mushaf Afrika). Di samping itu terdapat juga mushaf-mushaf Bacaan lain yang diseragamkan jenis khat dan jenis tandanya seperti Mushaf bacaan Imam Hamzah, Imam Abu ‘Amru, Imam Nafi’ dan beberapa lagi. Terdapat juga Mushaf Tajweed iaitu yang ditanda Qiraat lain di bahagian tepi muka surat yang berasaskan Bacaan ‘Asim Riwayat Hafs.

Terdapat beberapa penulisan yang saya jumpai yang menyebut panduan bagi membaca mengikut selain dari Tariq AsySyatibi, tetapi tidak menyebut secara khusus Tariq manakah sebenarnya yang dimaksudkan. Ada yang menyebut secara am Tariq AlJazari. Ianya sangat tidak tepat berdasarkan hujah yang saya kemukakan di atas, tambahan pula terdapat terdapat lima puluh satu Tariq lagi selain dari Syatibi yang dikumpulkan oleh AlJazari yang kesemuanya tidak bersamaan antara satu sama lain.
 

2 comments:

  1. Salam. Saye nak tanye.
    Kalau qiraat tarannum macam nahawand, ajam, hijaz, etc, kite boleh ikut mane2 ke?

    ReplyDelete