Tuesday 23 August 2011

06. MAKHRAJ HURUF

Boleh dikatakan semua definisi yang diberikan oleh ‘Ulama kepada perkataan Tajweed dan Tartil dikaitkan dengan ketepatan menyebut Makhraj Huruf. Ini adalah kerana ketepatan menyebut kalimah-kalimah AlQuran dan ketepatan mengikuti hukum-hukum Tajweed serta ketetapan sesetengah Hukum bergantung sebahagian besarnya kepada ketepatan mengeluarkan huruf-huruf tersebut dari Makhrajnya. Maka adalah sangat perlu diperincikan anggota-anggota yang terlibat bagi menyebut huruf-huruf tersebut serta pergerakannya, dan adalah sangat tidak memadai dengan hanya menyebut secara umum Dasar Ucapannya sahaja seperti Halqum, Lidah, Bibir dan sebagainya. Kadang kala kesilapan tidak menyebut secara detail anggota-anggota yang terlibat mengakibatkan seseorang itu mereka-reka sendiri cara menyebutnya.

Makhraj Huruf tidak akan memberi apa-apa erti sekiranya tidak disertakan dengan Nafas atau Suara, kerana yang menghasilkan Bunyi adalah Suara atau Nafas yang bergeseran dengan Makhraj yang disempitkan. Oleh itu apabila disebut Makhraj mestilah juga difahami bahawa mengalir bersamanya Nafas atau pun Suara.

Sebahagian besar dari Sifat Huruf sebenarnya adalah yang datang dengan Makhraj Huruf. Maksudnya sebahagian besar Sifat Huruf terjadi secara tersendiri sekiranya Huruf-Huruf disebut mengikut Makhraj yang betul, oleh itu kadang kala Sifat-Sifat tertentu sering disebut juga dalam membahaskan tajuk Makhraj Huruf. Memanglah sebaik-baiknya kedua-dua tajuk ini dibincangkan serentak, mungkin di bawah Tajuk Analisis Huruf, tetapi tajuk ini dikemudiankan kerana saya berhajat untuk mengemukakan pandangan saya dalam Bab Makhraj dan Sifat Huruf terlebih dahulu.


CATATAN :

a.       Perlu diingat bahawa AlQuran diturunkan dengan tidak ada Hukum Tajweed. Namun bunyinya penuh dengan Tajweed dan Tartil. Apabila Islam semakin berkembang hingga sampai ke bumi bukan ‘Arab, maka sebutan yang dilakukan oleh Pembaca bukan ‘Arab tidak lagi setepat bunyi asalnya. Hal ini mendorong ‘Ulama untuk membuat panduan bacaan yang setepat-tepatnya dan menamakannya ‘Ilmu Tajweed. Oleh kerana Hukum-Hukum Tajweed yang bertulis tidak sama dengan Suara dan Bunyi yang membacanya, maka sudah tentu terdapat kemungkinan bahawa generasi kemudian tidak membaca setepat generasi terdahulu kerana bergantung dengan Hukum-Hukum Tajweed yang ditulis kemudian. Sekali lagi perlu difahami bahawa Hukum-Hukum Tajweed ditulis berdasarkan bacaan yang tepat, bukan sebaliknya sebagaimana yang difahami pada masa ini, iaitu bacaan mengikut Hukum.

b.      Orang yang pertama yang dikatakan menulis berkenaan 'Ilmu Tajweed adalah Abu Mazahim Musa bin ‘Abdullah AlKhaqani11 (mengikut catatan AlJazari) yang meninggal pada tahun 325 hijrah. Beliau menulis dalam bentuk Matn sebanyak lima puluh satu (51) Bayt. Dalam Bayt-Bayt tersebut beliau menyebut nama-nama Imam-Imam Qiraat Tujuh (sebagaimana juga Abu Bakr bin Mujahid, meninggal 324 hijrah, melalui Kitabnya bernama KitabusSab‘ah yang dikatakan sebagai orang yang pertama menghadkan Qiraat kepada Tujuh). Selain dari itu beliau hanya menyebut Tajuk-Tajuk sahaja yang dibincangkan dalam 'Ilmu Tajweed , seperti Lahn, Makhraj, Tafkhim dan menyebut beberapa Sifat Huruf tanpa sebarang penjelasan dan perincian. Selepas itu saya tidak bertemu atau terbaca mana-mana Kitab khusus berkenaan ‘Ilmu Tajweed sehinggalah munculnya kitab ArRi‘ayah karangan Abu Muhammad Makki bin Abi Talib AlQaysi (meninggal 437 hijrah). Maka Kitab ArRi‘ayah ini bolehlah dianggap sebagai kitab yang pertama dalam ‘Ilmu Tajweed yang lengkap, merangkumi semua Tajuk-Tajuk berkaitan pembacaan AlQuran.


06.01 JENIS MAKHRAJ

Saya suka mengambil pendapat yang membahagikan Huruf-Huruf  ‘Arab kepada dua jenis Makhraj iaitulah MAKHRAJ MUQADDAR DAN MAKHRAJ MUHAQQAQ12.

A.    MAKHRAJ MUQADDAR

Muqaddar adalah perkadaran iaitu yang boleh disukat samada banyak atau sedikit dan  samada panjang atau pendek. Sebenarnya Makhraj Muqaddar bukanlah tempat keluar Huruf, tetapi lebih tepat jika disebut tempat lalu Huruf.

Terdapat dua Makhraj Muqaddar :

1.      Rongga Mulut
·         Rongga Mulut ialah semua ruangan bahagian dalam Mulut di bawah Langit-Langit
·         Tempat lalu mad
·         Huruf-Huruf  yang berfungsi sebagai Mad digelar Jawfiyyah (Keronggaan) atau Hawaiyyah (Keanginan) oleh Abu ‘AbdurRahman AlKhalil bin Ahmad AlFarahidi13 (meninggal 175 hijrah)

2.      Rongga Hidung
·         Rongga bahagian atas langit-langit
·         tempat lalu Suara Ghunnah (Dengung)


B.     MAKHRAJ MUHAQQAQ

Makhraj Muhaqqaq ialah tempat keluar Huruf yang Sahih. Oleh kerana Huruf Alif selama-lamanya tidak menerima Baris, maka ia selama-lamanya dikategorikan sebagai Huruf tidak sahih. Oleh itu hanya terdapat dua puluh lapan Huruf Sahih, dan dua puluh lapan Huruf inilah yang akan dibincangkan dalam bab Makhraj Huruf secara detail.


06.02 BILANGAN MAKHRAJ

‘Ulama tidak sependapat dalam menyebut bilangan Makhraj Huruf. Saya tidak bercadang menyebut secara detail pandangan-pandangan tersebut kerana saya berpandangan kekhilafan yang wujud antara mereka bukan pada perkara Usul. Malah sedikit pun tidak menjejaskan bacaan samada bagi yang berpandangan Makhraj itu bilangannya enam belas (seperti pandangan Abu Basyar 'Amru bin 'Uthman bin Qanbar yang dikenali dengan nama masyhurnya Sibawayh yang meninggal 180 hijrah, dan pengikut-pengikutnya), atau yang mengatakan Makhraj jumlahnya tujuh belas (seperti AlJazari dan pengikut-pengikutnya).  Saya sangat tidak bersetuju dengan sesetengah pendapat yang menyebut secara tegas bahawa bilangan Makhraj adalah tujuh belas, atau enam belas atau empat belas atau sebanyak mana sekali pun kerana dengan mengatakan sedemikian seolah-olah ianya sesuatu yang diIjma’kan sedangkan ianya tidak disepakati ‘Ulama'.

Dengan mengambil kira pandangan-pandangan berkenaan Makhraj Huruf, saya rumuskan kepada lima jenis khilaf :

1.      Samada Huruf-Huruf Mad mempunyai makhraj tersendiri atau bersama-sama dengan Huruf Hijaiyyah yang sama dengannya

·         Antaranya Imam Syatibi14 dan IbnulFahham15 berpendapat Huruf  ا  bersama Makhraj Huruf  ء, Huruf  ي  Mad bersama Huruf  ي  Hijaiyyah dan Huruf  و  Mad bersama Makhraj Huruf و  Hijaiyyah.

Saya telah menyatakan pendirian saya iaitu Huruf-Huruf Mad berMakhraj Muqaddar. Huruf Mad tidak ada tempat keluar tetapi hanya tempat lalu.

2.      Samada Huruf-Huruf  ل  , ن    dan ر   berada pada makhraj yang sama atau berasingan

·         Ada dua pandangan pula bagi yang mengatakan Huruf-Huruf Zalaqiyyah (gelaran ini diberi oleh AlKhalil untuk Huruf-Huruf  ل , ن dan ر) berada pada Makhraj yang berasingan :

2.1  pandangan mengatakan sememangnya Hujung Lidah menyentuh tempat berlainan pada Gusi Atas tetapi kedudukannya terlalu dekat

2.2  pandangan mengatakan Hujung Lidah menyentuh bahagian yang sama pada Gusi Atas tetapi bagi Huruf  ر, yang menyentuh Gusi adalah Bahagian Atas Hujung Lidah, bagi Huruf  ن, Bahagian Petengahan Hujung Lidah dan bagi Huruf  ل, Bahagian Bawah Hujung Lidah yang menyentuh Gusi

2.3  Saya tidak memasukkan pandangan yang mengatakan Makhraj Huruf  ل berlainan terus dari Makhraj ن dan  ر kerana pandangan ini agak terasing

Bagi Khilaf Kedua ini saya bersetuju dengan pandangan Abu Zakaria Yahya bin Ziyad AlFara' (meninggal 207 hijrah) dan mereka yang sependapat dengannya iaitu Huruf-Huruf  ل, ن dan ر adalah berhimpun pada satu makhraj yang sama.

3.      Kedudukan Huruf-Huruf Asaliyyah (gelaran yang diberikan oleh AlKhalil) iaitulah  ص, س dan ز; samada Hujung Lidah terletak antara Gigi Atas dan Gigi Bawah (Hujung Gigi Bawah) atau menyentuh Papan Gigi Bawah atau Umbi Gigi Bawah

·         Berkenaan dengan Khilaf ini, saya berpendapat Hujung Lidah menyentuh Gigi Bawah  Hadapan sebagaimana pandangan AbulQasim ‘AbdurRahman bin ‘Atiq IbnulFahham AsSuqli (meninggal 516 hijrah) dalam Kitabnya AtTajrid, ketika membincangkan Makhraj Huruf-Huruf Asaliyyah.

·         Oleh kerana Hujung Lidah adalah organ yang lembut, maka ia akan melebar apabila ditekan pada gigi. Keadaan ini menyebabkan Hujung Lidah menyentuh juga Papan Gigi Bawah sehingga ke Hujung Gigi Bawah. Ini bererti tidak ada bezanya ketiga-tiga pandangan tersebut berkenaan Huruf Asaliyyah kerana ada bahagian Hujung Lidah yang terletak di Hujung Gigi bawah, ada bahagian Hujung Lidah yang menyentuh Papan Gigi Bawah dan ada bahagian Hujung Lidah yang menyentuh Umbi atau Pangkal Gigi Bawah.

4.      Susunan Makhraj

·         Ada ‘Ulama yang menyusun Huruf-Huruf  ل  , ن  dan  ر  selepas Huruf-Huruf Hujung Lidah yang lain. Ada pula yang menyusun Huruf  ض  selepas Huruf-Huruf Hujung Lidah, dan sebagainya. 

Bagi bahagian ini saya memilih untuk menyusun mengikut kedudukan lidah dari pangkal ke hujungnya, dan bagi Huruf-Huruf Hujung Lidah, saya memilih untuk menyusunnya mengikut turutan tempat ianya menyentuh bahagian Mulut bermula dari Langit-Langit ke hadapan sehingga ke Gigi Bawah.

5.      Susunan Huruf yang sama Makhraj

·         Antaranya ada yang menyusun  ط , ت , د , ada yang mendahulukan Huruf  د  dari Huruf  ت . Ada yang menyusun  ش  , ج , ي ada pula berpandangan Huruf  ي  sepatutnya sebelum Huruf  ج  dan sebagainya.

Saya tidak mempunyai apa-apa masalah untuk mengikuti mana-mana pandangan dalam bahagian ini kecuali bagi Makhraj Huruf-Huruf  ج  ,  ي  , ش   yang saya akan terangkan di bahagiannya nanti.

Oleh itu dari segi bilangannya saya berpendapat terdapat empat Makhraj Kulli iaitu Tali Suara, Halqum, Lidah dan Bibir; dan empat belas Makhraj Juz'i : satu di Tali Suara, tiga di Halqum, lapan di Lidah dan dua di Bibir. Saya tidak memasukkan Makhraj-Makhraj Muqaddar ke dalam bilangan ini kerana Khaysyum (Rongga Hidung) adalah tempat lalu Suara Ghunnah (Dengung) dan Ghunnah adalah Sifat Huruf, bukannya Huruf manakala Jawf (Rongga Mulut) adalah tempat lalu Mad dan Mad bukannya Huruf tetapi sebagai Fungsi untuk memanjangkan Baris.

Di sana terdapat juga kajian-kajian saintifik yang menggunakan Pancaran Sinar-X untuk melihat pergerakan anggota yang terlibat semasa menyebut Huruf. Ketepatan kaedah ini sangat bergantung kepada Pembaca yang digunakan untuk menjalankan ujikaji tersebut.

No comments:

Post a Comment