Saturday 17 September 2011

06.03 Pendetailan Makhraj

‘Ulama memberi beberapa petua untuk mengenalpasti Makhraj, pertamanya mulakan sebutan dengan sebuatan panjang seperti aaa…, atau iii… atau uuu… kemudian letakkannya pada Makhraj16 Huruf berkenaan seperti aaasss… untuk Huruf  س, atau aaafff… untuk Huruf ف  dan sebagainya. Keduanya setiap Makhraj hendaklah disebut dengan Tamkin (teguh) dengan disempitkan Makhraj semaksima mungkin ketika menyebut setiap Huruf.


I.                   TALI SUARA

Tali Suara ialah tempat bermulanya Suara. Ianya merupakan anggota yang boleh dibuka-tutup. Keluar darinya satu huruf iaitu :

·         Huruf ء  ; ketika menyebutnya
o   bahagian tersebut ditutup menyebabkan laluan ke Mulut tersekat
o   Ruang bahagian buka-tutup ini di kenal sebagai ‘Glottis’ atau المزمار17
o   Lidah berada di tempat asalnya iaitu pada Dasar Mulut
o   tiada Bunyi tambahan selepas ‘Mati’nya kerana Huruf-Huruf yang tersekat Suara atau Nafas ke luar Mulut dan mengeluarkan Bunyi tambahan selepas Mati hanyalah Huruf-Huruf Qalqalah sahaja


II.                HALQUM

Letaknya pada ‘Larynx (الحنجرة) iaitu di bahagian atas Leher, paling dekat dengan Tali Suara. Pandangan yang mengatakan Makhraj Halqum bermula dari bawah Leher (sehingga mengatakan makhraj Huruf  ء  mengiringi dada) adalah tidak tepat dan terlalu janggal, kerana tidak mungkin Makhraj bagi mana-mana Huruf  terletak sebelum kedudukan Tali Suara. Sebab itulah bagi Pesakit yang terpaksa ditebuk bahagian lehernya untuk menolong penafasan tidak boleh berkata-kata kerana nafasnya tidak melalui Tali Suara yang terletak di bahagian lebih ke atas.

Tiga Makhrajnya ialah :

1.      Pangkal Halqum (الحلق أدنى), keluar darinya satu Huruf iaitu
·         Huruf  ه  ; ketika menyebutnya
o   Laluan Nafas ke luar Mulut tidak tersekat
o   Jika dipanjangkan sebutan, Suara semakin tersembunyi sehingga senyap
o   Jika berBaris Mati Dalam bacaan Wasal (sambung), Huruf selepasnya hendaklah disebut sebelum suara Huruf  ه  terputus Suara

2.      Pertengahan Halqum (الحلق وسط), keluar darinya dua Huruf iaitu
·         Huruf  ع ; ketika menyebutnya
o   Permulaan Suaranya tidak tertahan
o   Nafas tertahan di Penghujung sebutannya
o   Jika berBaris Mati dalam bacaan Wasal, Huruf selepasnya hendaklah disebut sebelum suara Huruf  ع tertahan
o   Semasa Wasal ianya boleh dianggap berSifat Rakhawah
o   Tempat tertahan Nafas adalah pada Tali Suara iaitu tempat Makhraj Huruf  ء 

·         Huruf  ح   ; ketika menyebutnya
o   Nafas tidak tertahan dari awal sebutan hingga akhir

3.      Hujung Halqum (الحلق أقصى), keluar darinya dua Huruf iaitu
·         Huruf  غ; ketika menyebutnya
o   Hujung Halqum disempitkan
o   Nafas tidak tertahan

·         Huruf  خ; ketika menyebutnya
o   Sama seperti Huruf  غ kecuali Huruf  خ  tidak bersuara

Kedua-kedua Huruf akhir ini adalah Huruf Tinggi (Isti’la – akan dibincang secara detail dalam bab Sifat Huruf  nanti), yang berbunyi ‘o’, seperti perkataan Inggeris ‘war’ ketika berbaris Atas, maka ketika menyebut kedua-dua Huruf ini semasa berbaris Atas keadaan Bibir Atas dan Bawah sedikit kedepan. Huruf-Huruf Pertengahan dan Hujung Halqum tidak terdapat persamaan dengan mana-mana Huruf dalam Bahasa Melayu.

Bilangan Huruf yang keluar dari Makhraj Halqum adalah lima. Kelima-lima Huruf ini bersama dengan Huruf  ء  digelar oleh AlKhalil sebagai Halqiyyah.


CATATAN

a.       Saya menganggap kedudukan Makhraj yang paling dekat dengan Punca Suara sebagai ‘Pangkal’ (أدنى - Dekat) dan yang lebih jauh sebagai ‘Hujung’ (أقصى - Jauh). Hal ini berbeza dengan pandangan kebanyakan kitab-kitab kerana kefahaman tentang kedudukan Makhraj Halqum yang berbeza.

b.      Kebanyakan kitab menyebut pada bahagian Halqum terdapat tiga Makhraj Juz‘i, iaitu Huruf-Huruf  ء dan  ه  berada pada Makhraj yang sama. Setelah saya membuat penelitian berkenaan Huruf  ء yang dibaca secara Tashil, saya dapati ianya terjadi apabila Huruf  ء yang asalnya bersifat Syiddah menjadi Rakhawah dan yang asalnya tidak Jahr menjadi Jahr. Hal ini menyebabkan ianya sama seperti Makhraj dan Sifat Huruf  ه , sedangkan tidak ada dua Huruf yang mempunyai Makhraj dan Sifat yang sama melainkan Huruf tersebut adalah Huruf yang sama. Menggunakan hujjah ini saya membuat kesimpulan bahawa Huruf  ه  mesti berada pada Makhraj yang berlainan dari Huruf  ء  tetapi terlalu dekat. Oleh kerana keadaannya terlalu dekat maka terdapat pandangan yang mengizinkan seseorang yang tidak mampu meRakhawahkan ء dalam bacaan Tashil, memasukkan sedikit SawtulHa (Suara Huruf  ه) semasa menyebutnya. Ini sebenarnya bererti memindahkan Makhraj ء ke Makhraj Huruf  ه  . Imam Abu ‘Amru AdDani menyebut beliau pernah mendengar Qari’ yang membaca Tashil seperti Huruf ه  yang sebenar.

Saya menyebut di awal bahagian ini bahawa ‘Injap’ yang pertama ialah Injap bagi Huruf  ء, ini bermaksud, ‘Injap’ ini tidak akan ditutup lagi bagi Makhraj-Makhraj Huruf selepas ini.

No comments:

Post a Comment