Friday 19 August 2011

05. ANGGOTA YANG TERLIBAT SEMASA MEMBACA ALQURAN

Oleh kerana banyak Huruf-Huruf  ‘Arab tidak sama dengan huruf-huruf Bahasa Melayu, maka perlulah diketahui tempat keluar huruf-huruf  ‘Arab secara detail dan tepat. Tempat keluar Huruf merupakan anggota fizikal manusia. Ianya boleh dilihat dan disentuh. Maka amatlah sesuai, dengan perkembangan teknologi masa kini, kajian-kajian saintifik dibuat untuk mengetahui dengan tepat pergerakan anggota yang terlibat dalam penyebutan Huruf-Huruf tertentu. Maka sayugia jugalah bagi penulis dalam bidang ini merujuk kepada hasil kajian saintifik yang dimaksudkan ini kerana ia merupakan data yang empirikal.

Sebelum perbincangan ditumpukan khusus berkenaan tajuk tersebut, elok diketahui terlebih dahulu anggota-anggota yang terlibat dalam membunyikan huruf-huruf atau kalimah-kalimah AlQuran, antaranya:

1.      Paru-Paru : الرئتان
·         terletak di bahagian Dada
·         berfungsi menarik dan menghembus Nafas

2.      Saluran Udara : الهوائية القصبة
·           Laluan Udara atau Nafas ke luar Mulut

3.      Tali Suara : الصوتيان الوتران
·         terletak pada bahagian atas sedikit dari Kartilej Cricoid (الحلقى الغضروف)  pada Larynx ( الحنجرة)
·         boleh bergerak mengawal laluan Nafas dan berfungsi sebagai ‘Injap’ pertama
·         laluan perlu disempitkan dan Nafas perlu dialirkan melaluinya untuk membunyikannya (menghasilkan getaran)

4.      Halqum : الحلق
·         terletak selepas Tali Suara hingga ke Pangkal Lidah

5.      Lidah : اللسان

6.      Langit-langit : الحنك
·         bahagian Langit-langit yang bertentangan dengan Pangkal Lidah disebut sebagai Langit-langit lembut
·         bahagian Langit-langit yang bertentangan dengan bahagian Tengah Lidah hingga ke Gusi disebut sebagai Langit-langit Keras

7.      Gusi Atas : اللثة
·         daging lembut yang terletak di bahagian atas Umbi Gigi Atas atau bawah Umbi Gigi Bawah
·         Gusi Bawah tidak terlibat dengan Makhraj Huruf ‘Arab

8.      Gigi : السنان
·         kedua-dua set Gigi Atas dan Bawah terlibat dengan bacaan
·         terdapat enam belas batang Gigi Atas dan enam belas batang Gigi Bawah
·         struktur Gigi Atas dan Bawah adalah sama dan begitu jugalah struktur Gigi Kiri dan Kanan adalah sama
·         Gigi-Gigi yang terletak di bahagian belakang adalah Gigi-Gigi Geraham (الإضراس )
·         Keseluruhannya terdapat dua puluh batang Gigi Geraham dan dua belas batang Gigi bukan Geraham
·         Pada Lapan batang Gigi sebelah Atas atau Bawah (sama) sebelah Kanan atau Kiri (sama),

a.       yang paling depan dipanggil Thanayah (ثنية)
a.       yang terletak selepas Thanayah dipanggil Ruba’iyyah (رباعية)
b.      yang terletak selepas Ruba’iyyah dipanggil Nab (ناب)
c.       Geraham Pertama selepas Nab dipanggil Dhahak (ضاحك)
d.      Geraham Kelima (terakhir) dipanggil Najiz (ناجذ)
e.       Tiga Geraham Tengah iaitu Geraham Kedua, Ketiga dan Keempat dipanggil Tawahan (طاحن جمع طواحن)

·         Orang yang tidak mempunyai Gigi yang diperlukan bagi Makhraj tertentu tidak akan mampu menyebut Huruf-Huruf berkenaan dengan sempurna

9.      Rahang : الفك
·         Rahang ialah tempat letaknya Bibir Bawah, Gigi-Gigi Bawah dan Lidah
·         Bibir Bawah, Gigi dan Lidah berfungsi secara berasingan
·         Rahang juga berfungsi untuk membuka dan menutup Mulut
·         Apabila dirujuk kepada kedudukan Gigi Bawah ketika menyebut sesetengah Huruf, sebenarnya yang bergerak ialah Rahang, bukannya Gigi

10.  Rongga Mulut : الجوف

11.  Bibir : الشفة
·         Yang terlibat dengan Makhraj ialah bahagian Perut Bibir Atas dan Bawah

12.  Rongga Hidung : الخيشوم


MULAHADZAH

a.       Udara atau Nafas boleh keluar-masuk melalui dua jalan iaitu Mulut atau Hidung. Pengaliran Nafas ke bahagian luar Mulut dikawal oleh beberapa anggota. Anggota-anggota yang berfungsi membuka dan menutup laluan Nafas saya istilahkan sebagai ‘Injap’ termasuklah lidah. Injap yang pertama terletak pada bahagian sumber Suara. Apabila Injap ini tertutup, Nafas tertahan dan tidak akan mengalir ke mana-mana bahagian lain. Injap ini hanya tertutup ketika menyebut Huruf  ء.  Bagi menyebut Huruf-Huruf lain, Injap ini hendaklah sentiasa dibuka.

b.      Injap yang kedua terletak atas sedikit dari daging (اللهة) di bahagian bawah Langit-Langit Lembut (الرخو الحنك). Injap ini mengawal laluan ke Rongga Hidung dan merupakan satu-satunya Injap yang mengawal laluan Nafas ke Hidung.  Laluan ke Rongga Hidung hanya terbuka ketika menyebut sesuatu yang berkaitan dengan Huruf-Huruf ن dan م sahaja. Selain dari itu, ianya SENTIASA berada dalam keadaan tertutup. Kegagalan untuk menutupnya dengan betul ketika menyebut Huruf-Huruf lain mengakibatkan pembacaan seseorang itu bersifat kedengungan atau kehidungan (berhidung) atau sengau. Kedua-dua Injap ini bolehlah dianggap sebagai Injap-Injap utama.

Antara kemahiran yang penting dalam pembacaan AlQuran adalah keupayaan mengawal banyak atau sedikit Suara melalui Rongga Mulut dan Rongga Hidung ketika membunyikan Dengung bagi Hukum Ikhfa’.  
c.       Anggota Bacaan yang paling ‘volatile’ ialah Anggota Lidah. Keseluruhan struktur Lidah dapat dikawal. Ini bermakna keseluruhan Anggota Lidah boleh berFungsi sebagai ‘Injap’, bermula dari Pangkalnya hingga ke Hujung. Jika dibuka laluan ke Rongga Hidung; dan disekat di bahagian Hujung Lidah, ia menghasilkan Makhraj Huruf  ن, jika disekat di bahagian Tengah Lidah, ia menghasilkan Huruf  ‘Nya’ (tidak ada dalam Abjad ‘Arab), jika disekat di bahagian Pangkal Lidah, ia menghasilkan Huruf  Nga’ (tidak terdapat dalam Abjad ‘Arab).

d.      Anggota akhir yang berfungsi sebagai ‘Injap’ ialah Bibir. Saya tidak masukkan Gigi sebagai ‘Injap’ kerana Gigi tidak dapat menyekat aliran Nafas atau Suara sepenuhnya.

Secara teknikalnya, perlu difahami bahawa, Fungsi Injap yang berada lebih ke Hujung dari Sumber Nafas bergantung kepada yang lebih dekat dengan sumbernya. Injap-Injap yang di hujung hanya boleh berfungsi sekiranya Injap yang terlebih dekat darinya terbuka.  Sekiranya Injap yang  terlebih dekat tertutup, maka membuka atau menutup Injap yang lebih ke Hujung tidak memberi apa-apa kesan kepada  bacaan, seperti yang pernah dilakukan oleh Pembaca Tersohor Syaykh ‘AbdulBasit bin ‘AbdusSamad10, iaitu dengan menutup mulut seketika ketika menyebut ن Tasydid.

Satu perkara lagi yang perlu difahami ialah walau pun laluan Hidung dan laluan Mulut adalah berasingan, tetapi kekuatan Gema Dengung bergantung kepada keluasan ruang udara yang berhubung dengan Rongga Hidung kerana ketika Injap Tali Suara dibuka, ruang Rongga Mulut dan Rongga Hidung adalah tidak tersekat. Kemahiran ini adalah penting juga untuk kesempurnaan sebutan dengung.
 

No comments:

Post a Comment