Thursday 18 August 2011

04. KEPERLUAN ASAS MENYEBUT KALIMAH ALQURAN

Saya mulakan perbincangan khusus dengan menyatakan perkara-perkara yang perlu ada untuk membolehkan seseorang itu menyebut mana-mana kalimah suci AlQuran. Iaitulah empat perkara; pertamanya Huruf, keduanya Baris, ketiganya Nafas dan keempatnya Suara. Tanpa mana-mana satu dari empat perkara tersebut, mustahil seseorang itu boleh menyebut atau membaca AlQuran.

Memang AlQuran diturunkan dengan tiada Huruf atau Baris dan tidak pula dengan Nafas atau Suara manusia. Tetapi apabila disebut AlQuran diturunkan dalam Bahasa ‘Arab dan untuk bacaan manusia, maka saya maksudkan ialah keperluan bagi manusia kepada keempat-empat perkara tersebut untuk memungkinkan bacaan. Yang dimaksudkan dengan Baris ialah tanda bunyi, tiada istilah lain yang dapat saya sebut untuk memberi maksud bunyi 'a', 'i', 'u' dan lain-lain lagi melainkan perkataan 'Baris' atau dalam bahasa ‘Arab seringkali disebut 'Harakah'.

Saya membuat catatan awal ini kerana nanti ada pula yang menyatakan AlQuran mula-mula ditulis dengan tiada titik dan baris. Sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa sekiranya Mushaf AlQuran itu dianggap sebagai satu Bacaan, maka keempat-empat perkara tersebut sememangnya diperlukan. Sebenarnya Tajuk yang lebih tepat ialah ‘Keperluan Asas untuk membaca Mushaf AlQuran’, tetapi oleh kerana bunyinya agak janggal maka saya memilih untuk tidak memasukkan perkataan ‘Mushaf’ ke dalam Bab ini.

04.01 HURUF

Huruf ‘Arab yang digunakan dalam penulisan Mushaf untuk mengeja kalimah-kalimah AlQuran adalah dua puluh sembilan, dari huruf  ا  hingga huruf  ي  mengikut susunan kebanyakan ahli Bahasa (dari  ع  hingga ء mengikut susunan dalam Kitab Al‘Ain6 oleh AlKhalil, dari  ا  hingga  غ  mengikut susunan ‘nilai’7 huruf tersebut). Huruf-Huruf ini disebut juga sebagai Huruf Hijaiyyah (Huruf Ejaan) atau Huruf Abjadiyyah (Huruf Abjad). Oleh kerana ianya bersumberkan Bahasa ‘Arab, maka sudah tentu huruf-huruf tersebut tidak sama sepenuhnya dengan huruf-huruf dalam Bahasa-Bahasa lain, khususnya Bahasa Melayu, walau pun terdapat juga beberapa huruf yang seratus peratus sama dengan Bahasa Melayu, iaitu Huruf  ب = Bee (B), ت  = Tee (T),  ر Tarqiq = Ar (R), ف  = Ef (F), ك    = Kay (K), ل  = El (L), م  = Em (M),  ن = En (N), و  = Double-U (W), ه  = Aych (H),  ء = Aye (A), ي  = Wye (Y).

Oleh kerana terdapat juga bunyi-bunyi bacaan AlQuran yang tidak sepenuhnya menyamai huruf-huruf yang dua puluh sembilan, maka huruf yang dua puluh sembilan ini di istilahkan sebagai Huruf  أصلى  (Asli), manakala bunyi-bunyi yang lain sekiranya berasaskan huruf maka disebut sebagai huruf-huruf  فرعى  (Far‘i)  (Bab ini akan diulangsebut semula apabila membicarakan tentang Makhraj dan Sifat Huruf kerana Huruf-Huruf Far‘i terhasil dari perubahan Makhraj dan/atau Sifat). Para ‘Ulama, samada ‘Ulama Qiraat atau ‘Ulama Bahasa tidak sepakat dalam menentukan bilangan huruf-huruf Far‘i.

Dalam kajian saya, terdapat lima Huruf Far‘i yang digunapakai dalam pembacaan AlQuran iaitulah

1.      Huruf  ر  Muraqqaqah iaitu Huruf  ر  yang Tarqiq

2.      Huruf  ص  Majhurah iaitu Huruf  ص  yang bersifat Jahr
·         Disebut juga Huruf  ص  Musyammah iaitu  ص  yang Isymam contohnya dalam bacaan Imam Hamzah, Riwayat Khalaf pada kalimah صراط

3.      Huruf  ل  Mutbaqah iaitu Huruf  ل  yang bersifat Itbaq
·         disebut juga ل  Mughalladzdzah iaitu Huruf  ل  Taghlidz
·         dan juga ل  Mukhaffamah iaitu Huruf  ل  yang Tebal, contohnya pada Kalimah الله

4.      Huruf   م  dan  ن  Mukhaffah iaitu  م  dan  ن  yang di-Ikhfa'kan
·         Huruf   م  dan  ن  yang di-Ikhfa’kan menghasilkan bunyi yang sama
·         termasuk juga di sini ن yang di-Idghamkan ke dalam huruf  ي dan  و  secara Naqis

5.      Huruf  ء Majhurah Markhuwwah iaitu Huruf  ء  yang bersifat Jahr dan Rakhawah
·         disebut juga ء Musahhalah iaitu  ء  yang Tashil


MULAHADZAH

a.       Saya masukkan Huruf  ر  Muraqqaqah (Nipis) ke dalam senarai Huruf Far‘i kerana Huruf  ر  yang asli adalah Tebal (mengikut pandangan Imam Syatibi8). Terdapat perbezaan Makhraj dan Sifat pada Huruf ر  antara ketika Tebal dan ketika Nipis seperti juga perbezaan yang wujud pada Huruf  ل  yang Tebal dan Nipis.
b.      Saya menganggap Huruf  م  dan  ن  Mukhaffah sebagai Huruf Far‘i yang satu kerana Huruf-Huruf   م  dan  ن  ketika Ikhfa’ menghasilkan Huruf yang sama.


04.02 BARIS

Terdapat empat jenis Baris atau حركة  (Harakah) dalam Bahasa ‘Arab; iaitulah فتحة  (Atas), كسرة  (Bawah), ضمة  (Depan); ketiga-tiga Baris ini biasanya disebut sebagai Baris Hidup,  dan  ساكن  (Mati). Kebanyakan ‘Ulama berpendapat Sakin itu bukan Baris (Sakin dianggap lawan bagi Harakah), namun saya memasukkannya dalam kategori Baris kerana Sakin juga menghasilkan Bunyi. Saya tidak menganggap Tanwin (Baris Dua) sebagai Baris kerana Tanwin sebenarnya adalah Huruf Nun. Baris Bawah adalah sama dengan Huruf Vokal 'i' dan Baris Depan sama dengan Huruf Vokal 'u', dalam Bahasa Melayu tetapi Baris Atas tidak sama dengan Huruf Vokal 'a' sepenuhnya. Huruf Vokal 'a', diistilahkan sebagai Fathah Syadidah (Baris Atas yang Keras) sedangkan Baris Atas ialah Fathah Tawassut (Baris Atas yang Sederhana).

Semasa membunyikan Baris Atas, keadaan mulut tidaklah dibuka luas, malah ketika itu keadaan mulut tidak pun telus untuk dimasukkan sepotong jari. Keadaan ini ada kaitan juga dengan sifatnya yang Istifal (Rendah). Keadaan mulut ketika menyebut Baris Bawah lebih sempit dari ketika menyebut Baris Atas, yang mana Gigi Atas hampir menyentuh Gigi Bawah.

Ada pun ketika menyebut Baris Depan, jarak gigi adalah seperti menyebut Baris Bawah manakala keadaan kedua-dua bibir memuncung. Keadaan bibir yang memuncung ketika menyebut Baris Depan adalah lebih ketara dari menyebut Huruf-Huruf yang bersifat Isti’la.

Sebagaimana Juga Huruf, terdapat juga bunyi-bunyi dalam pembacaan AlQuran yang lain dari yang dibincangkan di atas. Bunyi-bunyi lain ini diistilahkan sebagai Baris Far‘i manakala baris yang empat tadi disebut sebagai Baris Asli. Dalam bab ini juga ‘Ulama tidak sepakat dalam menentukan bilangannya.


Dalam kajian saya, terdapat enam Baris Far‘i :

1.      الأعلى  فتحة (Fathah A'la) iaitu Baris Atas Tinggi atau bunyi ketika menyebut Huruf-Huruf Isti'la yang berBaris Atas
·         keadaan bibir sedikit terkedepan ketika menyebutnya
·         kedudukan Gigi Atas dan Gigi Bawah paling renggang dibandingkan dengan sebutan Baris lain

2.      تقليل  (Taqlil) - Baris Atas yang condong sedikit ke arah Baris Bawah
·         bacaan Taqlil terdapat banyak dalam Bacaan Imam Nafi’ Riwayat Warsy
·         saya kurang setuju dengan pandangan mengatakan Taqlil adalah Imalah Sughra kerana terdapat perbezaan antara Taqlil dan Imalah Sughra

3.      إمالة  (Imalah) - Baris Atas yang lebih dekat kepada Baris Bawah
·         disebut juga Imalah Kubra
·         contohnya banyak dalam Bacaan Imam Abu ‘Amru, Imam Hamzah dan Imam AlKisa'i
·         Imam ‘Asim Riwayat Hafs juga membaca Imalah pada suku kata ‘ra’ pada kalimah مجرىها

4.      Kasrah Madhmummah iaitu Kasrah yang bercampur dengan Dhammah
·         disebut juga Isymam Baris
·         contohnya pada sebutan  قيل   bagi bacaan Imam AlKisa'i

5.      Lin 'ai', dan  6.  Lin 'au' - kedua-dua Baris ini hanya terjadi ketika Waqaf (Mad Lin ‘aridh lissukun)


CATATAN

1.      Walaupun Baris dikatakan penyebab kepada Bunyi tetapi kesemua Baris samada Asli atau Far‘i, tidak ada kaitan dengan Lidah. Lidah berada dikedudukan asalnya ketika menyebutnya.
2.      Anggota yang terlibat semasa membezakan Baris ialah Rahang dan Bibir.
3.      Rahang terletak dalam keadaan paling terbuka semasa membunyikan Baris Atas Tinggi (Isti’la)
4.      Rahang terletak dalam keadaan paling tertutup semasa membunyikan Baris Bawah dan Baris Depan
5.      Ketika membunyikan Baris Depan keadaan kedua-dua Bibir sedikit kedepan (memuncung)
6.      Baris Imalah adalah antara Baris Atas dan Baris Bawah maka kedudukan Rahang ketika itu adalah antara kedudukannya ketika berbaris Atas dan Bawah
7.      Rahang bergerak dari kedudukan Baris Atas ke kedudukan Baris Bawah ketika menyebut Baris Lin ‘ai’
8.      Rahang bergerak dari kedudukan Baris Atas ke kedudukan Baris Depan  ketika menyebut Baris Lin ‘au’
9.      Sebenarnya terdapat dua lagi Bunyi yang terhasil dari gabungan dua Baris Asli iaitu kedua-dua Lin (seperti Baris-Baris Far‘i nombor 5 dan 6) yang didahului oleh Huruf-Huruf Isti’la, tetapi saya tidak masukkan di sini sebab saya telah menganggap Isti’la itu sendiri sebagai Baris Far‘i


MULAHADZAH

a.       Saya menganggap Imalah dan Taqlil sebagai dua Baris Far‘i yang berlainan kerana sememangnya bunyinya tidak sama
b.      Saya menganggap kedua-dua bunyi Lin sebagai Baris Far‘i kerana kedua-dua Bunyi tersebut dihasikan dari gabungan Baris-Baris Asli
c.       Saya menyebut Lin hanya terjadi ketika Waqaf kerana ketika Wasal atau pertengahan kalimah Huruf-Huruf  ي dan  و  semasa berbaris Mati yang sebelumnya berbaris Atas berfungsi sama seperti Huruf-Huruf Hijaiyyah yang lain.
d.      Huruf-Huruf Lin ketika Waqaf berfungsi sebagai memanjangkan bunyi Lin yang sama seperti Mad ‘Aridh Lissukun.
e.       Saya membezakan antara Baris dan Huruf Far‘i kerana sememangnya Baris Far‘i adalah Baris, bukannya Huruf (kebanyakan penulis menyebut kesemuanya sebagai Huruf Far‘i)


PERINGATAN

Saya sebutkan pada awal perbincangan berkenaan Baris iaitu Baris Mati adalah salah satu dari Baris Asli. Saya juga menyebut bahawa Baris Mati juga menghasilkan Bunyi,  malah semua Huruf yang berSuara mengeluarkan Suara dalam semua keadaan. Oleh yang demikian seseorang itu mestilah mengetahui Bunyi setiap Huruf yang berBaris Mati dan berhati-hati supaya setiap huruf yang menghasilkan Bunyi ketika berBaris Mati samada ketika Wasal (pertengahan bacaan) atau ketika Waqaf, dizahirkan bunyinya. Malah penekanan mesti diberikan kepada cara membunyikan Huruf ketika berbaris mati. Saya dapati ramai pembaca tidak membunyikan Huruf-Huruf  ي  dan  و  yang berbaris Mati dengan tepat. Terdapat lapan Huruf yang Bunyinya ketika berbaris Mati semasa Waqaf tidak sama dengan Bunyinya ketika Wasal (bahagian ini akan diulangsebut di bawah Bab Sifat Huruf). Huruf-Huruf tersebut ialah kelima-lima Huruf Qalqalah, Huruf  ع, Huruf  ض dan Huruf  ه.


CATATAN

A.    HURUF MAD

Selain dari Huruf-Huruf yang telah disebut, kita seringkali juga mendengar orang menyebut istilah Huruf Mad (Huruf Panjang). Saya kemudiankan perbincangan ini kerana ianya ada kaitan yang sangat rapat dengan Baris. Sebenarnya Huruf-Huruf Mad adalah Huruf sama seperti Huruf-Huruf Hijaiyyah yang lain. Tidak ada huruf tambahan kepada Huruf Hijaiyyah yang dua puluh sembilan tersebut. Yang membezakan antara huruf Hijaiyyah dengan Huruf Mad adalah Fungsinya, iaitulah Huruf  ا  yang terletak selepas Huruf yang berBaris Atas, Huruf ي Mati yang terletak selepas Huruf yang berBaris Bawah dan Huruf و  Mati yang terletak selepas Huruf yang berbaris Depan; dalam satu  kalimah. Oleh itu apabila disebut ungkapan Huruf Mad, ia sebenarnya bermaksud Huruf-Huruf  ا  ,   ي dan و  yang berfungsi sebagai Mad.

Saya sebutkan di awal tadi bahawa saya menganggap Baris Mati sebagai Baris yang tersendiri, bukannya sebagai lawan kepada baris-baris lain kerana Baris Mati juga menghasilkan bunyi. Malah ketika berbarismatilah Makhraf Huruf ternyata dengan jelas dan terzahir semua Sifat-Sifat Huruf berkenaan yang mana Kitab HaqqutTilawah9 karangan Husni Syaykh ‘Uthman mengistilahkannya sebagai Sukun Hayyan (Baris Mati yang hidup). Perlu diingat bahawa Huruf Mad tidak menentukan Bunyi, fungsinya adalah semata-mata memanjangkan bunyi yang ditentukan oleh baris sebelumnya. Huruf  ا, ي dan و  yang berfungsi sebagai Mad diistilahkan Syaykh Khalaf sebagai Sukun Mawtan (Baris Mati yang mati).


B.     HURUF LIN

Sebagaimana Huruf Mad, Huruf Lin juga adalah Huruf yang sama seperti Huruf-Huruf lain, yang membezakannya adalah Fungsinya. Yang diistilahkan Huruf Lin adalah Huruf-Huruf ي dan و  yang berBaris Mati yang sebelumnya huruf-huruf berBaris Atas dalam satu kalimah, yang terjadi  ketika Waqaf. Huruf-Huruf ي dan و yang berkedudukan sedemikian mempunyai dua fungsi : pertamanya sebagai menghasilkan Harakah Far‘i Lin, dan keduanya sebagai memanjangkan (Mad) Baris Lin yang ketika itu dinamakan Mad Lin ‘Aridh LisSukun. Oleh itu saya berpandangan tiada huruf berasingan yang diistilahkan sebagai Huruf Lin.

PERHATIAN

Ramai pembaca yang menyebut Huruf-Huruf  ي  dan  و  Mati ketika Wasal atau ketika berada di tengah kalimah seperti baris Far‘i Lin, sedangkan pada ketika itu Huruf-Huruf  ي  dan  و  tidak berfungsi sebagai Lin.


04.03 SUARA

Di bahagian leher, terdapat satu anggota yang dikenal sebagai Tali Suara. Kadar Suara boleh dikawal, iaitu dari segi kekuatannya atau 'volume'nya, malah ianya boleh disenyapkan terus, contohnya dalam bacaan sirr. Suara hendaklah dibezakan dari Bunyi. Tidak bersuara tidak semestinya tidak berbunyi. Geseran Nafas dengan Makhraj juga menghasilkan Bunyi. Suara hanya datang dari Tali Suara. Makhraj bagi semua Huruf kecuali Huruf  ء  terletak ‘selepas’ kedudukan Tali Suara.


04.04 NAFAS

Nafas boleh diistilahkan sebagai udara yang dihembus keluar dan yang ditarik masuk. Setiap sesuatu yang hendak disebut mestilah diringi Nafas bersamanya. Adalah mustahil seseorang itu boleh membunyikan sesuatu dengan mulutnya tanpa melibatkan Nafas. Sumber Nafas mestilah terletak sebelum Tali Suara. Kadar pengaliran masuk dan keluar Nafas boleh dikawal oleh Pembacanya.

Nafas dan Suara sangat berkait rapat kerana Suara tidak boleh dihasilkan tanpa Nafas, tetapi Nafas boleh saja dihembus tanpa Suara. Dalam menghasilkan Bunyi, ada yang memerlukan Suara dan ada yang tidak memerlukan Suara, tetapi Bunyi samada bersuara atau tidak, memerlukan Nafas dialirkan bersama. Dengan lain perkataan, apabila disebut Suara, maka mengalir bersamanya Nafas kerana Suara dihasilkan dari getaran pada Tali Suara yang diakibatkan oleh Nafas yang melaluinya. Bab ini juga akan diulang sebut dalam membicarakan tajuk Sifat Huruf. Oleh kerana Suara adalah sebahagian dari Sifat Huruf, dalam banyak hal saya akan hanya menyebutkan perkataan Nafas atau Udara ketika membahaskan Makhraj Huruf.

Ada juga ‘Ulama yang membahaskan samada Huruf atau Baris yang datang dahulu. Bagi saya, kalau dipertimbang dari sudut penulisan, sememangnya Huruflah yang dahulu. Tanpa Huruf, di mana Baris hendak diletak !

Sebagai rumusannya bolehlah disimpulkan bahawa : Tanpa Huruf, tidak ada apa yang hendak disebut; tanpa Baris, tidak tahu bagaimana hendak menyebut; tanpa Nafas, tidak boleh hendak menyebut; tanpa Suara, tidak mengetahui apa yang disebut.
 

1 comment:

  1. Harrah's Cherokee Casino & Hotel | JT Hub
    Harrah's Cherokee Casino 원주 출장안마 & Hotel · Harrah's 천안 출장안마 Cherokee Casino 정읍 출장마사지 & Hotel. Harrah's Cherokee Casino 태백 출장안마 & Hotel · Cherokee · Cherokee, NC 서산 출장마사지 28906 · Attached to:.

    ReplyDelete