Saturday 15 October 2011

07. SIFAT HURUF

Seperti mana juga hubungan Huruf dan Baris, Sifat juga tidak boleh dipisahkan dari Makhraj.  Malah sebahagian besar Sifat-Sifat Huruf berada di ‘dalam’ Makhraj Huruf. Dengan lain perkataan, sekiranya sesuatu Huruf itu disebut mengikut Makhrajnya yang betul, maka Sifat terjadi dengan sendiri seperti Sifat Safir dan Itbaq. Di sana terdapat juga Sifat-Sifat yang terpaksa dibuat yang saya istilahkan sebagai Sifat Ketara  untuk menghasilkannya seperti Qalqalah dan Isti’la.  Terdapat banyak  juga Sifat-Sifat yang semata-mata sebagai  Sifat tetapi tidak menjejaskan bacaan, misalnya Ismat dan lawannya Izlaq. Ini bererti hanya terdapat beberapa Sifat sahaja yang perlu diberi tumpuan iaitu Sifat-Sifat yang boleh menjejaskan bacaan dan yang tidak terhasil dengan sendiri dari sebutan Makhraj yang betul.

AlKhalil ada menyebut beberapa Sifat Huruf dan Gelaran Huruf-Huruf dalam Mu’jamnya bernama Al‘Ain tetapi tidak membincangkannya secara khusus. Begitu jugalah dengan Ahli-Ahli Nahu yang lain, hanya menyebut beberapa Sifat dalam bentuk definisi, tetapi tidak membincangkannya secara khusus di bawah tajuk Sifat Huruf. ‘Ulama yang pertama yang mula-mula menyebutnya secara teratur dan lengkap adalah tidak lain dari Makki bin Abu Talib. Beliau menyenaraikan semua Sifat-Sifat Huruf termasuklah yang tidak menjejaskan bacaan dan juga Gelaran-Gelaran Huruf yang telah dinyatakan oleh AlKhalil. Makki menyenaraikan tiga puluh empat19 Sifat bersama dengan sepuluh Gelaran Huruf menjadikan empat puluh empat kesemuanya.

Berkenaan dengan Huruf-Hurufnya pula, saya akan bincangkan Huruf-Huruf bermakhraj Muhaqqaq dahulu (dua puluh lapan tidak termasuk Alif) dan akan menyentuh berkenaan Huruf-Huruf bermakhraj Muqaddar di bahagian akhir Bab ini.


01.01  BILANGAN SIFAT HURUF

Kekhilafan di kalangan ‘Ulama berkenaan bilangan Sifat Huruf lebih ketara dari kekhilafan berkenaan Makhraj Huruf. Dengan mengambil kira semua kekhilafan, terdapat tiga puluh lima Sifat dan sebelas Gelaran. Sebagaimana yang saya sebutkan di atas, Makki menyenaraikan tiga puluh empat daripadanya (tidak termasuk Sifat Tarqiq). IbnulFahham menyebut enam belas Sifat; antara yang tidak termasuk dalam senarainya ialah Sifat Qalqalah. Imam Syatibi memilih enam belas juga tetapi tidak sama dengan IbnulFahham; antara kelainannya ialah Imam Syatibi memasukkan Sifat ‘Illah. AsSakhawi (Murid Imam Syatibi) juga menyenaraikan enam belas Sifat tetapi menukar dari ‘Illah kepada Lin. AlJazari menyenaraikan semula kesemua tiga puluh empat Sifat yang disebut oleh Makki termasuk sepuluh Gelarannya dalam Kitab pertamanya tentang Tajwid bertajuk AtTamhid fi ‘IlmitTajweed manakala dalam Matan Tajweednya bernama AlMuqaddimah, beliau hanya menyebut tujuh belas Sifat; yang paling ketara ialah memperkenalkan semula Sifat Ismat dan Izlaq. AlBarkawi hanya menyebut empat belas Sifat, beliau menggugurkan Sifat-Sifat Ismat, Izlaq, Lin dan Inhiraf dan mengambil Ghunnah sebagai Sifat. AlMar‘asyi pula menambahkan tiga lagi Sifat kepada senarai AlBarkawi menjadikannya tujuh belas iaitu Khafa’, Tafkhim dan Tarqiq. Oleh kerana kekhilafan dalam bab ini agak banyak, maka tidak memadai bagi seseorang itu hanya memegang kepada mana-mana pandangan tanpa dibuat penelitian secara menyeluruh.

Tujuan mengetahui Sifat Huruf adalah untuk membantu seseorang itu menyebut setiap Huruf dengan cara yang lebih tepat, maka jika ditinggalkan Sifat-Sifat yang tidak menjejaskan bacaan, tidaklah menjadi suatu kesalahan dalam mempelajari ‘Ilmu Tajweed. Malah sebagaimana saya sebutkan sebelum ini bahawa  jika seseorang itu mempelajari Makhraj Huruf secara detail dan menyebutnya dengan cara yang betul, maka kebanyakan Sifat akan terjadi dengan sendiri. Bagi mereka yang bermasalah menzahirkan Sifat-Sifat di bawah kategori ini, teguran harus diberi kepada Makhraj. Oleh itu perbahasan dalam Bab Sifat Huruf harus diberi tumpuan kepada Sifat-Sifat Ketara.

No comments:

Post a Comment