Monday, 9 January 2012

09 ISTI‘AZAH

DEFINISI

Isti‘azah bererti Permohonan Perlindungan. Dari segi istilah Isti‘azah bermaksud ucapan Permohonan Perlindungan daripada ALLAH apabila hendak membaca AlQuran supaya tidak diganggu oleh syaitan.


SIGHAH

Terdapat banyak cara untuk mengucapkan Isti‘azah. Dua sighah yang paling masyhur ialah :

1.      الرجيم الشيطان من بالله أعوذ

Bermaksud : Aku berlindung dengan ALLAH dari syaitan yang direjam

2.      الرجيم الشيطان من العليم السميع بالله أعوذ

Bermaksud : Aku berlindung dengan ALLAH Yang Maha Mendengar, Yang Maha Mengetahui dari syaitan yang direjam.


HUKUM

Walaupun suruhan berta‘awuz adalah warid dari AlQuran29, namun ‘Ulama mengatakan Hukumnya tidaklah Wajib. Sekiranya AlQuran dibaca secara berjama‘ah seperti bertadarus pada bulan Ramadhan, Hukumnya adalah Sunat Kifayah, malah lebih ‘rendah’ dari itu kerana sekiranya seseorang itu bukan merupakan pembaca yang pertama, tidak disunatkan baginya berta‘awuz. Dan sekiranya seseorang itu tidak sempat dengan pembaca pertama (yang telah berta‘awuz), maka masih disunatkan baginya membacanya tetapi tidak secara Jahr (bersuara).


KEADAAN DI MANA TIDAK DISUNATKAN MEMBACA SECARA BERSUARA

‘Ulama bersepakat mengatakan ada empat keadaan di mana berta‘awuz tidak disunatkan secara Jahr, iaitu :

1.      Sekiranya tidak membaca AlQuran secara Jahr
2.      Sekiranya membaca bersendirian
3.      Ketika dalam sembahyang
4.      Sekiranya tidak berkesempatan dengan pembaca pertama (yang telah berta‘awuz) dalam majlis membaca AlQuran secara berjama‘ah.


PERHATIAN

a.       Sekiranya pembacaan diselangi dengan kata-kata yang bukan dari AlQuran, maka Isti‘azah menjadi Sunat semula
b.      Kelas membaca AlQuran tidak termasuk dalam kategori membaca secara berjama‘ah, maka
1.      Sayugialah setiap murid memulakan bacaan dengan Isti‘azah secara Jahr
2.      Dinasihatkan murid memberitahu muka surat dan/atau ayat yang hendak dibaca sebelum membaca Isti‘azah
3.      Gangguan yang berbentuk teguran samada oleh Guru atau rakan sepembelajaran tidak memerlukan Isti‘azah diulangi (beginilah amalan ‘Ulama terdahulu)
4.      Gangguan yang berbentuk pertanyaan yang tidak disusuli dengan penjelasan yang terlalu lama pada kebiasaan, juga tidak memerlukan Isti‘azah diulangi

No comments:

Post a Comment