Wednesday, 10 August 2011

03. QIRAAT, RIWAYAT, TARIQ DAN SANAD

Saya menyebut secara khusus nama Imam Syatibi dalam penulisan saya ini adalah kerana ianya menjadi tujuan utama saya iaitu mengutarakan Hukum-Hukum Tajweed sebagaimana yang disebut sendiri oleh Imam Syatibi atau pandangan-pandangan yang bersumberkan darinya walau pun dalam beberapa bab saya mempunyai pandangan saya sendiri. Saya melihat antara kecelaruan Hukum Tajweed adalah kerana ‘Ilmu Tajweed yang diajar di mana sahaja secara umumnya tidak bersumberkan dari Imam Syatibi sedangkan majoriti rakyat dalam negara ini membaca mengikut Tariq Syatibi. Antara yang paling ketara ialah berkaitan dengan Hukum Panjang Pendek dan juga Hukum Tebal Nipis. Oleh itu terlebih dahulu saya ingin menyebut secara ringkas kedudukan Imam Syatibi dalam ‘Ilmu pembacaan AlQuran ini.

Bacaan AlQuran yang diamalkan di seluruh dunia pada hari ini sebagaimana yang dicatat oleh kebanyakan pengumpul ‘Ilmu Qiraat adalah bersumberkan dari lapan orang Sahabat selepas RasuluLLAH SallaLLAHU ‘alayhi wasallam (selepas ini diringkaskan dengan SAW). Mereka adalah AmirulMu'minin Sayyidina ‘Umar AlKhattab, AmirulMu'minin Sayyidina ‘Uthman bin ‘Affan, AmirulMu'minin Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib, Zayd bin Thabit, Ubayy bin Ka‘ab, Abdullah bin Mas‘ud, Abu Musa AlAsy‘ari dan AbudDarda' RadhiyaLLAHU ‘anhum ajma‘in.

‘Ulama merumuskan bacaan yang sahih ialah sekiranya menepati tiga syarat, iaitulah pertamanya Sanad yang sah, keduanya bertepatan dengan kaedah nahu ‘Arab dan ketiganya ejaannya menepati Resam ‘Uthmani. Maka terhasillah tujuh QIRAAT (disebut Qiraat Tujuh2) atau sepuluh qiraat (Qiraat Sepuluh3) yang mana salah satunya ialah Qiraat ‘Asim. Nama penuhnya ialah Abu Bakr ‘Asim bin AbinNajud (ada yang menambah bin Bahdalah) AlAsadi AlKufi. Beliau meninggal pada tahun 127 hijrah. Beliau merupakan seorang Tabi‘in dan ada meriwayatkan hadith. Jadi ‘Asim adalah salah seorang Imam Qiraat samada Qiraat Tujuh atau Qiraat Sepuluh, dan Qiraatnya dipanggil Qiraat ‘Asim. Imam ‘Asim menerima bacaan dari tiga orang guru. Pertamanya Abu ‘AbdurRahman ‘Abdullah bin Habib AsSulami, keduanya Abu Maryam Zirr bin Hubaisy dan ketiganya Abu ‘Amru Sa‘ad bin Ilyas AsySyaybani. Ketiga-tiga mereka ini mengambil bacaan dari Abdullah bin Mas‘ud radhiyaLLAHU ‘anhu (selepas ini akan diringkaskan dengan RA). AsSulami dan Zirr mengambil bacaan juga dari Sayyidina ‘Uthman dan Sayyidina ‘Ali radhiaLLU ‘anhuma. Manakala AsSulami berguru lagi dengan Zayd bin Thabit dan Ubay bin Ka‘ab radhiaLLU ‘anhuma.

AlJazari (AbulKhayr Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin ‘Ali bin Yusuf AlJazari, meninggal 833 hijrah) menghimpun dan merumuskan bahawa Imam ‘Asim membawa 128 tariq bacaan dari RasuluLLAH melalui guru-gurunya tadi yang diperturunkan ke bawah melalui dua orang muridnya iaitu Abu Bakr Syu’bah bin ‘Iyasy dan Abu ‘Umar Hafs bin Sulaiman AlKufi. Kedua-dua mereka ini diistilahkan sebagai perawi, dengan kata lain mereka meriwayatkan bacaan Imam ‘Asim. RIWAYAT adalah periwayat bacaan dari Imam yang tidak semestinya murid langsung dari Imam tersebut. Periwayat bacaan selepas Rawi diistilahkan sebagai TARIQ. Terdapat beberapa peringkat Tariq. Dari Imam ‘Asim, Syu’bah membawa tujuh puluh enam tariq manakala Hafs membawa lima puluh dua tariq, mengikut apa yang dikumpulkan oleh AlJazari4. Di sana mungkin terdapat banyak lagi tariq-tariq lain yang dibaca oleh Imam ‘Asim melalui Tariq-Tariq yang lain seperti Tariq Makki bin Abi Talib5 bagi Bacaan Hafs.

Lima puluh dua tariq Hafs diperturun ke bawah melalui Abu Muhammad ‘Ubayd bin AsSabah bin Subayh (dua puluh empat tariq) dan Abu Hafs ‘Amru bin AsSabah bin Subayh  (dua puluh lapan tariq). Jadi ‘Ubayd dan ‘Amru diistilahkan sebagai Tariq juga. Dari ‘Ubayd, bacaan diperturun pula kepada AlUsynani, tetapi tidak dinisbahkan apa-apa tariq kepadanya. Melalui AlUsynani, bacaan ‘Ubayd diperturunkan kepada AbulHasan ‘Ali bin Muhammad AlHasyimi (sepuluh tariq) dan Abu Tahir ‘AbdulWajid bin Abi Hasyim (empat belas tariq). Jadi AlHasyimi dan Abu Tahir juga disebut Tariq. Terdapat lima orang membawa bacaan dari AlHasyimi, iaitulah AbulHasan Tahir bin ‘AbdulMun‘im bin Ghalbun (empat tariq), ‘AbdusSalam (dua tariq), AlKaruzaini (dua tariq), AlBalkhi (satu tariq) dan AsSuzanjardi (satu tariq). Dari empat tariq yang dibawa oleh Ibnu Ghalbun, satu dinisbahkan kepadanya sendiri, satu kepada Abu ‘Amru ‘Uthman bin Sa‘id AdDani, satu kepada AbulHasan ‘Ali bin Ballimah dan satu lagi kepada AbulQasim AlQasim bin Firruh bin Khalaf bin Ahmad ArRu‘ayni AlAndalusi AsySyatibi (meninggal 590 hijrah). Ini bererti dari hampir 1000 tariq yang bersumber dari RasuluLLAH dan 128 tariq melalui Imam ‘Asim manakala lima puluh dua tariq dibawa oleh Hafs, hanya satu tariq dibawa oleh Syatibi. Secara spesifik tiada satu tariq pun dinisbahkan kepada AlJazari dari mana-mana Imam Qiraat. Dengan kata lain AlJazari tidak mempunyai tariqnya sendiri. Beliau hanya mengumpul tariq-tariq dari kitab terdahulu termasuk Tariq Syatibi sebagaimana juga Abu ‘Ubayd AlQasim bin Salam, Syihabuddin AlQastallani dan lain-lain lagi yang mengusahakan pengumpulan. Usaha pengumpulan yang dilakukan oleh AlJazari adalah berasaskan kepada lebih kurang empat puluh buah kitab bermula (mengikut turutan masa) dari KitabusSab‘ah karangan Abu Bakr Ahmad bin Musa bin Mujahid yang meninggal pada tahun 324 hijrah dan yang terakhir ialah kitab AlBustan karangan IbnulJundi yang meninggal tahun 769 hijrah. Kesemua nama-nama tariq dinisbahkan kepada pengarang-pengarang kitab tersebut.

Imam AlJazari hanya menghadkan kepada dua Rawi bagi setiap Imam, dua Tariq bagi setiap Rawi dan dua Tariq pula bagi setiap Tariq tersebut dan selepas itu beliau tidak menghadkannya lagi. Perlu difahami bahawa dalam satu Tariq terdapat beberapa tariq-tariq lain pula yang di bawahnya. Sebab itu saya istilahkan sebagai peringkat Tariq. Ini bermakna bagi setiap Imam terdapat dua Rawi dan empat Tariq pada peringkat pertama dan lapan Tariq bagi peringkat kedua. Sekiranya terdapat tariq-tariq lain yang tidak melalui tariq yang telah dihadkan olehnya, tidak akan dimasukkan ke dalam kitabnya walau pun ianya terdapat dalam kitab 'pemilik' tariq tersebut bagi bacaan Imam-Imam yang lain. Jadi dari sepuluh Imam Qiraat yang dihimpunkan, terdapat dua puluh Rawi, empat puluh Tariq peringkat pertama dan lapan puluh Tariq peringkat kedua. Dalam sususan AlJazari, kedudukan Imam Syatibi jauh lebih terkemudian dari Tariq peringkat keduanya yang akan saya terangkan nanti dalam sanadnya. Jadi sebenarnya secara spesifik tidak terdapat Tariq AlJazari. Setiap tariq membawa variasi bacaan yang berlainan, dan tiada satu variasi bacaan pun yang dinisbahkan kepada AlJazari. Kalau boleh disebut Tariq AlJazari maka Tariq Syatibi juga merupakan sebahagian dari Tariq AlJazari kerana Tariq Syatibi juga merupakan salah satu tariq yang dikumpul dan dirumuskan dalam kitabnya AnNasyru dan juga dalam matannya TayyibatunNasyri. Tariq Syatibi pula dirumuskan dalam matannya bernama AlHirzulAmani waWajhutTahani yang dinamakan juga sebagai Matan AsySyatibi.

SANAD pula adalah sandaran. Iaitu bacaan yang bersandar secara tali-menali sampai ke RasuluLLAH hingga ke Lawh Mahfudz. Sanad Imam Syatibi bagi bacaan kita sekarang yang disebut dengan Bacaan Tariq Syatibi adalah seperti berikut :

Imam Syatibi (590H) mengambil bacaan dari AbulHasan ‘Ali bin Muhammad bin Huzil (564H), mengambil bacaan dari Abu Dawud Sulaiman bin Najah (496H), mengambil bacaan dari Abu ‘Amru ‘Uthman bin Sa‘id AdDani (444H), mengambil bacaan dari AbulHasan Tahir bin ‘AbdulMun‘im bin Ghalbun (399H), mengambil bacaan dari AbulHasan ‘Ali bin Muhammad AlHasyimi (368H); yang merupakan salah seorang Tariq peringkat kedua bagi Imam ‘Asim dalam susunan AlJazari. AlHasyimi mengambil bacaan dari Abul‘Abbas Ahmad bin Sahl AlUsynani (307), mengambil bacaan dari Abu Muhammad ‘Ubayd bin AsSabah (235H); yang merupakan salah seorang Tariq peringkat pertama bagi Imam ‘Asim dalam susunan AlJazari. ‘Ubayd mengambil bacaan dari Abu ‘Umar Hafs bin Sulayman AlAsadi (180H); yang merupakan Rawi kedua bagi Imam ‘Asim (selepas Syu'bah). Hafs mangambil bacaan dari Abu Bakr ‘Asim bin AbinNajud AlKufi (127H); salah seorang Imam Qiraat. Imam ‘Asim mengambil bacaan dari Abu ‘AbdurRahman ‘Abdullah bin Habib AsSulami (73H), mengambil bacaan dari AbulHasan ‘Ali bin Abi Talib KarramaLLAHU Wajhah AmirulMu'minin; mengambil bacaan dari AbulQasim Muhammad bin ‘Abdullah SAW ARRASUL; mengambil bacaan dari Jibril ‘AlayhisSalam, mengambil bacaan dari Lawh Mahfudz, dari ALLAH Subhanahu WaTa‘ala. Oleh itu bacaan kita bersumberkan dari Sayyidina ‘Ali yang merupakan seorang sahabat dari lapan orang yang saya sebutkan di awal tadi.

Rumusan dalam bab yang dibincangkan ini ialah; dalam Qiraat Tujuh terdapat empat belas Riwayat, dalam Qiraat Sepuluh terdapat dua puluh Riwayat dan hampir 1000 Tariq.

Bacaan yang ramai di kalangan kita amalkan sekarang adalah bacaan Imam ‘Asim, Riwayat Hafs melalui Tariq Syatibi. Adalah tidak memadai jika disebut Tariq Syatibi sahaja kerana ia berkemungkinan yang dimaksudkan bukan bacaan Imam ‘Asim atau bukan Riwayat Hafs. Juga tidak memadai jika disebut Bacaan Imam ‘Asim sahaja kerana berkemungkinan yang dimaksudkan ialah Riwayat lain atau Tariq lain. Begitu jugalah tidak memadai dengan hanya menyebut bacaan Riwayat Hafs sahaja kerana terdapat lima puluh dua tariq di bawahnya.

Adalah baik juga jika saya sebutkan bahawa Mushaf AlQuran yang banyak digunakan sekarang adalah Mushaf yang ditulis atau dicetak dan ditanda mengikut Bacaan Imam ‘Asim, Riwayat Hafs memalui Tariq Syatibi. Dengan lain perkataan, seseorang itu boleh membaca Qiraat ‘Asim, Riwayat Hafs, Tariq Syatibi dengan sempurna dengan berpandukan tanda-tanda bacaan dalam mushaf tersebut. Oleh yang demikian jika seseorang itu berhasrat untuk membaca Qiraat lain, atau bacaan ‘Asim riwayat lain atau pun bacaan ‘Asim Riwayat Hafs tetapi Tariq lain, maka ia perlu mengetahui hukum-hukum Tajweed bacaan tersebut sebelum boleh menggunakan Mushaf sekarang sebagai bacaannya kerana tanda-tanda bacaannya berbeza. Dengan lain perkataan, jika pihak pencetak mushaf AlQuran ingin supaya AlQuran boleh dibaca menurut Qiraat lain, atau Riwayat lain atau pun Tariq lain, maka perlulah dicetak mushaf-mushaf lain dengan tanda-tanda yang memenuhi disiplin Hukum-Hukum Tajweed bacaan tersebut. Setakat yang saya tahu, terdapat empat jenis mushaf yang dicetak mengikut khat bacaan asalnya; pertamanya mushaf untuk Bacaan Imam ‘Asim, Riwayat Hafs Tariq Syatibi (paling banyak), keduanya Bacaan Imam Nafi’, Riwayat Qalun (saya tidak pasti Tariqnya kerana belum lihat mushaf tersebut [cetakan Libya]), ketiganya Bacaan Imam Nafi’, Riwayat Warsy Tariq Syatibi dan keempatnya Bacaan Imam Abu ‘Amru, Riwayat AdDuri Tariq Syatibi (Mushaf Afrika). Di samping itu terdapat juga mushaf-mushaf Bacaan lain yang diseragamkan jenis khat dan jenis tandanya seperti Mushaf bacaan Imam Hamzah, Imam Abu ‘Amru, Imam Nafi’ dan beberapa lagi. Terdapat juga Mushaf Tajweed iaitu yang ditanda Qiraat lain di bahagian tepi muka surat yang berasaskan Bacaan ‘Asim Riwayat Hafs.

Terdapat beberapa penulisan yang saya jumpai yang menyebut panduan bagi membaca mengikut selain dari Tariq AsySyatibi, tetapi tidak menyebut secara khusus Tariq manakah sebenarnya yang dimaksudkan. Ada yang menyebut secara am Tariq AlJazari. Ianya sangat tidak tepat berdasarkan hujah yang saya kemukakan di atas, tambahan pula terdapat terdapat lima puluh satu Tariq lagi selain dari Syatibi yang dikumpulkan oleh AlJazari yang kesemuanya tidak bersamaan antara satu sama lain.
 

Saturday, 30 July 2011

02. MUQADDIMAH

02 MUQADDIMAH

Saya berpendirian bahawa setiap cebisan 'Ilmu hendaklah disertakan dengan hujah yang kuat. Sebagaimana yang dituntut ke atas setiap yang mukallaf supaya berusaha mencari hujah dan dalil ke atas sesuatu ketetapan dalam 'Ilmu Fiqh, maka saya berpendapat tuntutan yang sama juga diperlukan terhadap 'Ilmu AlQuran. Atas kesedaran ini maka saya berusaha mencari dan menggali hujah-hujah dan dalil-dalil bagi setiap ketetapan dan hukum-hukum tajweed sehingga ianya memberi keyakinan dan kefahaman yang menyeluruh kepada saya berkenaan perkara tersebut. Atas kesedaran ini juga saya ingin memohon maaf kepada semua individu-individu yang pernah mengajar dan memberi pandangan kepada saya akan tetapi pandangan saya di sini tidak selari dengan mereka. Saya tetap berterima kasih kepada mereka kerana dengan pandangan-pandangan yang diberikan oleh merekalah mendorong saya untuk mencari dalil-dalil sokongan sehinggalah dalam hal-hal yang tertentu saya mampu mengutarakan pandangan saya sendiri.

Oleh kerana tujuan saya menulis bukan sekadar untuk memindahkan 'Ilmu yang perolehi  dari mana-mana sumber, tetapi juga saya berhasrat untuk menyatakan pandangan dan pendirian saya dalam bidang ini, dan atas kesedaran bahawa untuk melayakkan seseorang itu mengia atau menolak sesuatu pandangan memerlukan penguasaan terhadap 'Ilmu tersebut, maka saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa sahaja yang saya muatkan dalam penulisan saya ini. Namun bukanlah kesemua perkara yang saya muatkan di sini merupakan padangan saya tersendiri, malah sebahagian besarnya juga saya sandarkan kepada Kitab-Kitab yang Mu'tabar dalam bidang ini yang kesemuanya dalam Bahasa 'Arab (setakat kajian saya belum ada lagi mana-mana kitab Bahasa Melayu yang boleh menandingi bahan yang terdapat dalam Kitab-Kitab dalam Bahasa 'Arab) walau pun penguasaan saya dalam Bahasa 'Arab amatlah terhad. Kepada ALLAHlah saya berserah diri untuk menilai serta memberi hukuman atau balasan yang setimpal.

Sekali lagi saya ingin memanjangkan ucapan penghargaan saya kepada Ustaz Zainal Abidin bin Ahmad  yang tidak pernah menghalang usaha saya walaupun ianya terkadang-kala tidak sama dengan pandangan beliau setelah kami berbincang. Individu kedua ialah Ustaz Mohd Rahim Jusoh yang sentiasa memberi dorongan kepada saya untuk terus menggali khazanah 'Ilmu dari kitab terdahulu untuk menyokong pandangan saya. Dan tidak lengkap senarai penghargaan saya sekiranya saya tidak menyebut nama rakan sepengajian saya, Yusuf bin Abu Bakar (Ustaz Soh) semasa bertalaqqi dengan Ustaz Zainal Abidin, yang sentiasa memberi dorongan untuk meneruskan usaha murni saya dan menyokong agar kefahaman yang kurang tepat oleh sebilangan masyarakat berkenaan 'Ilmu Tajweed diperbetulkan.

Penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada semua Murid-Murid yang kerana mereka ‘Ilmu ini dapat saya alirkan dan kerana mereka jugalah saya sentiasa mencari hujjah-hujjah untuk memahamkan mereka dalam setiap ketetapan dan Hukum-Hukum Tajweed. Saya telah berusaha untuk mendedah dan menerangkan semua pandangan yang masyhur kepada mereka sebelum saya menyebut pandangan saya sendiri.

Oleh kerana usaha saya dalam bidang ini ada kelainannya dengan yang lain, saya menganggap Pengajaran dan Penulisan saya sebagai satu Perjuangan dalam bidang ini. Perjuangan untuk memperbetulkan silap faham, silap fakta dan silap amal. Adalah menjadi impian saya agar tulisan saya ini diterjemahkan ke Bahasa-Bahasa lain juga yang 'Ilmu Tajweed ini dipelajari.

Saya besyukur ke Hadhrat ALLAH Subhanahu wata'ala kerana akhirnya memberi kekuatan kepada saya untuk memulakan penulisan ini yang sudah sekian lama dicitakan dan mengharapkan agar ALLAH Yang Maha Kuasa terus memberi kekuatan kepada saya untuk menyiapkannya supaya sekurang-kurangnya menjadi asas untuk kajian-kajian yang lebih tepat dan terperinci selepas ini dengan hasrat KalamuLLAH disebut setepat-tepatnya.
 

Monday, 25 July 2011

01. SEMAKAN 'ILMU TAJWEED


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين وبه نستعين

والصلاة والسلام على آشرف الآنبياء والمرسلين

وعلى آله وآصحابه آجمعين


01 SEMAKAN ‘ILMU TAJWEED

AlHamduliLLAH, segala puji bagi ALLAH, Tuhan yang menurunkan AlQuran sebagai panduan bagi manusia dan Salawat serta Salam ke atas Junjungan RasuluLLAH SallaLLAHU ‘alayhi wasallam yang melaluinya AlQuran disampaikan ke seluruh alam.

Ku doakan kepada sekelian sahabat Baginda agar dirahmati ALLAH kerana melalui merekalah AlQuran dipanjangkan hingga ke akhir zaman.

Ya ALLAH ya Tuhanku, rahmatilah juga ke atas Guru-Guru Quranku samada yang telah kembali ke RahmatuLLAH atau yang masih hidup yang telah menyambung ajaran RasuluLLAH hingga dapat aku nikmati hari ini.

Dengan sukacita dan bangganya ingin ku nyatakan nama-nama mereka seperti berikut :
1.         Mohd Nor bin Abdullah (Pak Teh Nor - Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu) : 1968 - 1970 : tahap mengenal dan belajar membaca
2.         Musa bin Ali (Ayah Su Che' Musa - Banggol Pauh, Kuala Terengganu) - meninggal tahun 2003 : 1970 - 1971 : tahap kelancaran hingga khatam
3.         Che' Ku Ali bin Che' Ku ?? - (Imam Masjid Abidin, Kuala Terengganu) meninggal tahun ?? : 1973 - 1974 : mengajar ‘Ilmu Tajweed
4.         Zainal Abidin bin Ahmad (Bukit Payong, Terengganu) : 1987 - 1999 bertalaqqi dengannya Bacaan Imam ‘Asim, Riwayat Hafs Tariq AsySyatibi  hingga khatam

Ustaz Zainal Abidin bin Ahmad adalah salah seorang dari lapan1 orang murid kepada Tuan Guru Haji Muhammad Nur bin Ibrahim AlMufti (Mufti Kelantan). Beliau pernah memegang jawatan Timbalan Mufti Negeri Terengganu (2000 – 2004).

Di samping itu terdapat dua orang Guru yang mengajarku 'Ilmu Qiraat Tariq AsySyatibi, iaitu :

1.      Muhad bin Bidin – mengajarku Pengenalan ‘Ilmu Qiraat dan Qiraat Nafi’ Tariq Syatibi dalam Kelas Pengajian Semasa di Ma’had Tahfidz Terengganu di Padang Midin

2.      Khairul Anuar bin Muhammad AlBakri - mengajarku Qiraat Tujuh Tariq Syatibi secara berTalaqqi Musyafahah

ALLAH juga memberi kesempatan kepadaku :

1.         memperdengarkan bacaan AlFatihah kepada Syaykh Ahmad bin Abdul Qadir AlMandili semasa kunjungannya ke Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan Pahang pada tahun 1993
·         beliau menegur ku kerana menyebut Mad Lazim Kalimi Muthaqqal pada Kalimah الضالين terlalu panjang

2.         memperolehi  Ijazah AlFatihah Qiraat Sab‘ah dari SyaykhulQurra' Syam Syaykh Ahmad Kurayyim Rajih semasa kunjunganku ke Syria pada tahun 2003
·         beliau menegurku Turutan Bacaan semasa membaca secara Jama’ bagi Riwayat Khalaf dan Khallad dari Imam Hamzah

3.         memperdengarkan Bacaan Surah AlFatihah kepada Syaykh Ahmad ‘Isa Hasan AlMa’sarawi, SyaykhulQurra’ Mesir semasa kunjungannya ke Terengganu pada tahun 2010 bagi menghadiri Seminar Antarabangsa Qiraat dan Qurra 2010 di UNISZA dan menegurku
·         Makhraj Huruf ق
·         Turutan Bacaan cara membaca Jama’ (samada mengikut Turutan Imam atau Turutan Khilaf)
·         supaya menghafal keseluruhan Matn AsySyatibi 
·         dan menasihatkan kepadaku supaya tidak mengamalkan bacaan secara Jama’ kerana Bacaan Jama’ tidak diamalkan oleh RasuluLLAH SAW dan Sahabat-Sahabat RA Baginda. Ianya hanya diizin untuk diamal semasa mempelajari Qiraat

Tidak lupa kepada individu-individu yang seringkali saya jadikan tempat rujukan samada dalam 'Ilmu Tajweed atau pun dalam ‘Ilmu Qiraat, terutamanya Ustaz Abu Khusyu‘i  Mohd Rahim bin Jusoh.