Sunday 13 November 2011

07. SIFAT HURUF : Sambungan 4 ...

07.03 SIFAT HURUF-HURUF MAD DAN LIN

Sebagaimana yang disebutkan terdahulu, Huruf-Huruf Mad dan Lin adalah Huruf-Huruf yang bermakhraj Muqaddar. Ketiga-tiga Huruf yang berfungsi sebagai Mad dan Lin iaitu ا , ي  dan  و  mempunyai Sifat-Sifat yang sama iaitu Rakhawah dan Infitah.


MULAHADZAH

a.       Huruf-Huruf Mad dan Lin tidak bersifat Jahr atau sebaliknya kerana ianya mengikut pembacanya. Sekiranya seseorang pembaca itu membaca secara Jahr maka Huruf-Huruf Mad dan Lin menjadi Jahr dan begitulah juga sebaliknya.

b.      Huruf  ا  yang berfungsi sebagai Mad tidak bersifat Isti’la atau Istifal kerana ianya mengikut Sifat Huruf-Huruf yang ‘membawa’nya. Sekiranya Huruf-Huruf yang sebelumnya adalah Huruf-Huruf Isti’la yang berbaris Atas maka Huruf  ا  menjadi Isti’la juga dan begitulah sebaliknya.

c.       Perhatian hendaklah diberi kepada Huruf-Huruf Mad yang terletak selepas Huruf-Huruf Khaysyumiyyah. Kebanyakan pembaca meghunnahkan juga Huruf-Huruf Mad tersebut sedangkan Huruf-Huruf Mad tidak bersifat Ghunnah.


07.04 SIFAT HURUF-HURUF FAR‘I

Saya akan hanya menyebut Sifat-Sifat bagi Hurf-Huruf Far‘i yang berbeza dari Huruf asalnya

1.      Huruf  ر  Muraqqaqah
·         Istifal dan Infitah

2.      Huruf  ص  Majhurah
·         Jahr

3.      Huruf  ل  Mutbaqah
·         Isti’la dan Itbaq

4.      Huruf   م  dan  ن  Munkhafah 
·         Tiada perubahan Sifat berlaku pada Huruf-Huruf  م  dan  ن    kerana yang menyebabkan ialahnya dikategorikan di bawah Huruf Far‘i adalah kerana perubahan Makhraj

5.      Huruf  ء Majhurah Markhuwwah
·         Rakhawah dan Jahr

07. SIFAT HURUF : Sambungan 3 ...

07.02.02 SIFAT-SIFAT LAIN

1.      Sifat Jahr
·         Dari segi Bahasa Jahr bererti bunyi yang Kuat
·         Dari segi Istilah, Jahr ialah Suara yang dikeluarkan untuk menyempurnakan sebutan Huruf-Hurufnya

Bilangan Huruf-Huruf Jahr adalah enam belas iaitu :

ي ه و ن م ل غ ع ظ ض ز ر ذ د ج ب


MULAHADZAH

a.       Saya menganggap Huruf  ه   bersifat Sifat Jahr kerana sememangnya  Huruf  ه   adalah Huruf yang memerlukan Suara. Pandangan ini disebut oleh Pakar Bahasa Mutaakhkhir sebagaimana yang dinaqal oleh Dr Hasan Hasan Jabal25 dari Dr. Ibrahim Anis dalam Kitabnya AlAswatulLughawiyyah dan Dr. Abdul Rahman Ayyub dalam Kitabnya AswatulLughah
b.      Saya tidak menganggap Huruf  ء  bersifat Jahr kerana Huruf  ء   bukan Huruf Suara
c.       Saya tidak menganggap Huruf-Huruf  ط   dan ق26  sebagai Sifat Jahr kerana bunyi Qalqalah adalah bunyi Suara ketika Baris Mati, bukannya Suara Huruf

2.      Sifat Syiddah
·         Dari segi Bahasa Syiddah bererti  Keras
·         Dari segi Istilah Syiddah bermaksud tertahan Nafas ketika menyebut Huruf-Hurufnya walau pun hanya seketika
Bilangan Huruf-Huruf Syiddah adalah sepuluh iaitu :

ع ض ت ك ب ط ق د ج ء


MULAHADZAH

a.       Saya memasukkan Huruf-Huruf   ع  dan ض   ke dalam Sifat Syiddah kerana sebutan Huruf-Huruf tersebut ketika berbaris Mati tertahan di penghujungnya (sekiranya ia berada di akhir bacaan)
b.      Sekiranya Huruf-Huruf  ع  dan ض   berbaris  Mati terletak di tengah kalimah, perpindahan Suara ke Huruf yang selepasnya adalah sebelum Suara tersebut tertahan (sekadar tempoh Istitalah seperti Huruf-Huruf Istitalah yang lain).

3.      Sifat Rakhawah
·         Dari segi Bahasa Rakhawah bererti Lembut
·         Dari segi Istilah Rakhawah bermaksud Nafas dan/atau Suara yang tidak tertahan (terputus) ketika menyebut Huruf-Hurufnya dalam semua keadaan
·         Sifat Rakhawah adalah lawan bagi Sifat Syiddah

4.      Sifat Itbaq
·         Dari segi Bahasa Itbaq bererti Tertutup
·         Dari segi Istilah Itbaq bermaksud sebutan yang tebal iaitu terangkat keseluruhan Lidah ke Langit-Langit ketika menyebutnya bagi semua baris
·         Ketika menyebut sesetengah Huruf Itbaq; Lidah dirapatkan ke Langit-Langit sehingga bersentuh dan sesetengahnya tidak bersentuh
Bilangan Huruf-Huruf Itbaq ialah empat iaitu :

ظ  ط ض ص


CATATAN

a.       Huruf  ر  ketika Tafkhim dan  ل  ketika Taghlidz mengambil sifat Itbaq
b.      Keempat-empat Huruf Itbaq adalah juga Isti’la tetapi tidak sebaliknya; bererti semua Huruf Itbaq adalah Tinggi ketika berbaris Atas tetapi bukan semua Huruf Isti’la bersifat Tebal
c.       Semua huruf Itbaq adalah bersifat Tafkhim (Tebal) dan begitu jugalah sebaliknya

5.      Sifat Infitah
·         Dari segi Bahasa Infitah bereti Terbuka
·         Dari segi Istilah Infitah bermaksud keadaan Pangkal dan Pertengahan Lidah yang tidak diangkat ke Langit-langit
·         Sifat Infitah adalah lawan bagi Sifat Itbaq
·         Semua Huruf yang bersifat Infitah adalah juga Tarqiq (Nipis)

6.      Sifat Khafa’
·         Dari segi Bahasa Khafa’ bererti Tersembunyi
·         Dari segi Istilah Khafa’ bermaksud Suara yang semakin tersembunyi ketika menyebut Hurufnya semasa berbaris Mati di hujung bacaan
·         Sifat Khafa’ adalah sifat khusus bagi Huruf  ه  
·         Huruf  ه  bermula dengan Suara dan Suaranya tidak tertahan tetapi Suaranya semakin habis


MULAHADZAH

Bagi mereka yang menganggap Khafa’ sebagai salah satu dari Sifat-Sifat Huruf, bilangan Huruf-Hurufnya adalah empat27 iaitu Huruf-Huruf  ا ,  ي  dan و  semasa berfungsi sebagai Mad dan Huruf  ه . Saya telah terangkan perkara ini dalam bab Makhraj Muqaddar, di mana Huruf-Huruf  ا ,  ي  dan و  yang berfungsi sebagai Mad tidak mempunyai Bunyi tersendiri.

7.      Sifat Tafasysyi
·         Dari segi Bahasa Tafasysyi bererti Hembur
·         Dari segi Istilah Tafasysyi bermaksud Bunyi yang keluar dari geseran Nafas dengan laluan sempit antara Tengah Lidah hingga ke Hujung Lidah dan Langit-Langit yang bertentangan dengannya
·         Sifat ini hanya dikhususkan kepada Huruf ش  sahaja

8.      Sifat Takrir
·         Dari segi Bahasa Takrir bererti Berulang
·         Dari segi Istilah Takrir bermaksud getaran berulang-ulang yang berlaku di Hujung Lidah yang dihasilkan dari pergeseran nafas melalui laluan sempit antara Hujung Lidah dengan Gusi Atas
·         Sebenarnya sifat ini hendaklah dijaga supaya tidak berlaku28
·         Getaran hanya boleh berlaku sekiranya Hujung Lidah bersentuh dengan Gusi sedangkan Hujung Lidah tidak bersentuh dengan Gusi ketika membunyikan Huruf  ر
·         Sifat ini hanya dikhususkan kepada Huruf  ر  sahaja
9.      Sifat Inhiraf
·         Dari segi Bahasa Inhiraf bererti Lencong
·         Dari segi Istilah Inhiraf bererti kecenderungan Huruf  ل  dan   ر  untuk melencong ke Makhraf Huruf lain
·         Saya mendapati perkara ini tidak berlaku sekiranya setiap Huruf disebut secara Teguh (Tamkin)

10.  Sifat Ghunnah
·         Dari segi Bahasa, Ghunnah bererti Dengung
·         Dari segi Istilah Ghunnah bermaksud Suara yang keluar melalui Rongga Hidung
·         Sifat Ghunnah adalah Sifat yang wujud pada Huruf-Huruf  ن dan  م  dan sebutan-sebutan yang ada kaitan dengan Huruf-Huruf tersebut

Sifat-sifat Tafkhim dan Tarqiq akan dibincangkan secara terperinci dalam babnya nanti.


MULAHADZAH

Kekeliruan memahami makna Sifat Hams telah menyebabkan Huruf-Huruf  ت  dan  ك  disebut dengan pelbagai cara untuk menzahirkan sifat tersebut. Yang paling ketara ialah apabila ianya mempengaruhi Makhraj Huruf-Huruf tersebut sehingga hampir menzahirkan Huruf  lain. Sekiranya difahami makna asalnya maka kekeliruan tersebut tidak timbul.

CATATAN

a.       Bunyi hendaklah dibezakan dari Suara sebagaimana saya nyatakan terdahulu. Bunyi boleh terhasil dari dua punca iaitu Suara itu sendiri dan pergeseran Nafas dengan Makhraj.

b.      Suara diperlukan untuk membunyikan Baris

c.       Dalam bacaan nyaring (bersuara), semua Huruf yang berBaris selain dari Baris Mati akan menghasilkan Bunyi dari Suara. Huruf yang berbaris Mati juga akan menghasilkan Bunyi dari Suara sekiranya Huruf tersebut adalah Huruf bersifat Suara (Jahar), seperti Huruf  م . Huruf-Huruf yang tidak bersuara menghasilkan Bunyi dari Nafas sekiranya Nafasnya tidak tertahan atau Huruf tersebut bersifat Rakhawah, seperti Huruf  س  .

d.      Walaupun terdapat beberapa Makhraj yang mempunyai berbilang Huruf padanya, tetapi jika diperincikan Huruf-Huruf tersebut, bukan semua Huruf-Huruf tersebut sepenuhnya berMakhraj sama. Huruf-Huruf yang sememangnya berMakhraj sama adalah seperti berikut :

1.      Huruf-Huruf   خ dan  غ 
·         Beza antara kedua-dua Huruf tersebut ialah Sifat Jahr yang ada pada huruf  غ

2.      Huruf-Huruf  ت  dan  د 
·         Beza antara kedua-dua Huruf tersebut ialah Sifat Jahr dan Sifat Qalqalah yang ada pada huruf  د 

3.      Huruf-Huruf  ث  dan  ذ
·         Beza antara kedua-dua Huruf tersebut ialah Sifat Jahr yang ada pada huruf  ذ

4.      Huruf-Huruf  س  dan ز
·         Beza antara kedua-dua Huruf tersebut ialah Sifat Jahr yang ada pada huruf  ز

Jika diperhatikan perbezaan antara Huruf-Huruf yang berMakhraj sama, didapati bahawa yang membezakan semua Huruf-Huruf tersebut adalah Sifat Jahr.