Saturday 17 September 2011

06.03 Pendetailan Makhraj : Sambungan ...

III.                   LIDAH

Lidah bukan sahaja anggota yang boleh bergerak secara keseluruhan tetapi juga strukturnya lembut dan boleh digerak-gerakkan bahagian-bahagiannya.

Terdapat Lapan Makhraj yang Juz‘i di Bahagian Lidah; Dua Makhraj terletak di Bahagian Pangkal Lidah (اللسان أدنى), Satu Makhraj di bahagian Tengah Lidah (اللسان  وسط) dan Lima Makhraj terletak di Hujung Lidah (اللسان طرف). Saya tidak menyebut Tepi Lidah (HafatulLisan) sebagai salah satu bahagian Lidah yang berasingan kerana saya dapati tidak ada Huruf yang keluar dari Tepi Lidah semata-mata tanpa melibatkan Hujung Lidah dan dari segi amalannya bahagian Tepi Lidah bergerak secara otomatik apabila bahagian Tengahnya bergerak. Ini bererti apabila disebut Tengah Lidah, ia termasuklah Tepi Lidah yang setentang dengannya.

1.      Pangkal Lidah (اللسان أدنى), keluar darinya satu Huruf iaitu
·         Huruf  ق; ketika menyebutnya
o   Pangkal Lidah menutup laluan udara ke Mulut (bererti kedua-dua laluan tertutup)
o   Keadaan Bibir sedikit kedepan kerana ia adalah Huruf Isti’la
o   Terdapat suara lebihan selepas menyebutnya ketika berbaris Mati kerana ia adalah  Huruf  قلقلة
o   Tidak sama ketika berBaris Mati dalam keadaan Waqaf dan Wasal
o   Huruf  ق tiada persamaan dengan mana-mana Huruf dalam Bahasa Melayu

2.      Pangkal Lidah selepas Makhraj Huruf Qaf sedikit, keluar darinya satu Huruf iaitu
·         Huruf  ك; ketika menyebutnya
o   Pangkal Lidah menutup laluan udara ke Mulut (bererti kedua-dua laluan tertutup)
o   Tiada Bunyi lebihan semasa berbaris Mati kerana ianya bukan Huruf Qalqalah

Jadi terdapat Dua Makhraj pada Pangkal Lidah yang keluar darinya dua Huruf sahaja. Oleh kerana letaknya dekat dengan seketul daging yang dipanggil Lahw (Anak Tekak), maka AlKhalil menggelarnya sebagai Lahwiyyah.


3.      Tengah Lidah (اللسان وسط), keluar darinya Tiga Huruf iaitu
·         Huruf  ج; ketika menyebutnya
o   Bahagian Tengah Lidah menyentuh Langit-Langit Keras yang setentang dengannya
o   Bahagian Hujung Lidah tidak menyentuh mana-mana bahagian Mulut
o   Laluan udara ke luar Mulut disekat oleh bahagian Tengah Lidah dengan Langit-Langit
o   Terdapat Suara Tambahan kerana ج adalah Huruf Qalqalah
o   Huruf ج tidak sama sepenuhnya dengan Huruf Jay (J) dalam Bahasa Melayu kerana Hujuf ‘J’ disebut lebih kedepan Lidah dari Huruf  ج dan tidak bersifat Qalqalah

·         Huruf ي, ketika menyebutnya
o   Bahagian Tengah Lidah diangkat sedekat mungkin ke Langit-Langit yang setentang dengannya tetapi tidak bersentuh
o   Bahagian Tepi Lidah menyentuh Papan Gigi-Gigi Geraham Atas yang setentang dengannya
o   Laluan Udara ke luar Mulut tidak tersekat

·         Huruf ش; ketika menyebutnya
o   Bahagian Tengah hingga ke Hujung Lidah diangkat ke Langit-Langit yang setentang dengannya tetapi tidak bersentuh
o   Bahagian Tepi Lidah menyentuh Papan Gigi-Gigi Geraham Atas yang setentang dengannya
o   Laluan Udara tidak tersekat hingga ke Luar Mulut
o   Keadaan Bibir sedikit kedepan kerana Makhrajnya memanjang dari Tengah hingga ke Hujung Lidah
o   Huruf ش tidak sama sepenuhnya dengan Huruf ‘SY’ dalam Bahasa Melayu kerana Huruf ‘SY’ tidak disebut dari Tengah hingga ke Hujung Lidah yang menghasilkan sifat Tafasysyi

Ketiga-tiga Huruf ini dinisbahkan kepada Daun Lidah atau Syajariyyah. Walau pun ketiga-tiga Huruf di atas dikumpulkan ke dalam satu Makhraj, tetapi keadaan Lidah tidak sama semasa menyebut setiap Huruf tersebut.  Ketiga-tiga Huruf tersebut melibatkan bahagian Tengah Lidah tetapi hanya Huruf ش yang memanjang sehingga ke Hujung Lidah.

4.      Hujung Lidah (اللسان طرف) dengan Gusi Atas (أعلى لثة), keluar darinya tiga Huruf iaitu
·         Huruf  ل; ketika menyebutnya
o   Hujung Lidah menyentuh sepanjang Gusi Atas dari Geraham Pertama (Dhahak) Atas sebelah Kiri ke Geraham Pertama sebelah Kanan (Gusi yang bertentangan dengan lapan batang Gigi Hadapan)
o   Udara mengalir (tidak tertahan) ke luar Mulut melalui Tepi-Tepi Lidah yang bertentangan dengan Gigi-Gigi Geraham yang lain

·         Huruf  ن; ketika menyebutnya
o   Keseluruhan Tepi Lidah dan Hujung Lidah bersentuh dengan keseluruhan Gusi Atas menyebabkan laluan Nafas  ke luar melalui Mulut tertutup
o   Laluan ke Rongga Hidung terbuka


PERHATIAN

Makhraj Huruf  ن hendaklah dijaga supaya Hujung Lidah tidak lebih ke bawah hingga menyentuh Gigi seperti sebutan sesetengah kanak-kanak

·         Huruf ر Tafkhim; ketika menyebutnya
o   Bahagian Tepi Lidah menyentuh Gusi Atas yang bertentangan dengannya mengakibatkan Nafas tidak melaluinya
o   Bahagian Hujung Lidah yang betentangan dengan Gusi Gigi bukan Geraham diangkat tetapi tidak bersentuh dengan Gusi berkenaan mengakibatkan Udara melaluinya
o   Udara tidak tertahan ketika menyebutnya dan mengalir ke luar Mulut melalui Hujung Lidah
o   Keseluruhan Perut Lidah diangkat merapati Langit-Langit (tetapi tidak bersentuh) kerana Huruf ر Tafkhim mengambil Sifat Itbaq
o   Nafas di‘tekan’ di sepanjang lidah untuk menghasilkan Sifat Tebal Huruf ر
o   Keadaan Bibir sedikit kedepan kerana Huruf ر Tafkhim mengambil Sifat Isti’la
o   Huruf  ر  Tafkhim tiada persamaan dengan mana-mana Huruf dalam Bahasa Melayu

AlKhalil menamakan ketiga-tiga Huruf tersebut Zalaqiyyah atau Zawalqiyyah kerana ketiga-tiganya Huruf Izlaq. Walau pun ketiga-tiganya satu Makhraj, tetapi kedudukan Lidah dan Mulut tidak sama ketika menyebutnya. Ketika menyebut Huruf  ن; laluan ke Mulut tertutup. Ketika menyebut Huruf  ل dan ر; laluan ke Mulut tidak tertahan tetapi bagi Huruf ل; laluannya melalui Tepi Lidah bahagian belakang  dan bagi Huruf ر; laluannya melalui Hujung Lidah.


5.      Hujung Lidah dengan Umbi atau Pangkal Gigi Atas (antara Gigi dan Gusi), keluar darinya tiga Huruf iaitu
·         Huruf  ط; ketika menyebutnya
o   Keseluruhan Lidah diangkat ke atas sehingga bersentuh mengakibatkan laluan Udara ke luar Mulut tertutup
o   Sepanjang Perut Lidah menyentuh Langit-Langit
o   Sepanjang Tepi Lidah menyentuh sepanjang Umbi Gigi yang bertentangan dengannya
o   Nafas di’tekan’ di sepanjang lidah untuk menghasilkan Sifat Itbaq
o   Kedudukan Bibir sedikit kedepan kerana Huruf  ط berSifat Isti’la
o   Semasa berbaris Mati terdapat Suara Lebihan kerana  ط  adalah Huruf Qalqalah
o   Huruf  ط  tiada persamaan dengan mana-mana Huruf  dalam Bahasa Melayu

·         Huruf  ت; ketika menyebutnya
o   Keseluruhan Lidah diangkat ke atas sehingga bersentuh mengakibatkan laluan Nafas ke luar Mulut tersekat
o   Sepanjang Tepi Lidah menyentuh sepanjang Umbi Gigi yang bertentangan dengannya
o   Nafas hanya ditekan di Hujung Lidah
o   Tidak terdapat Bunyi lebihan selepas berbaris Mati


MULAHADZAH

Terdapat pembaca yang mengangkat Gigi Bawah sehingga menyentuh Gigi Atas ketika menyebut Huruf  ت  yang berbaris mati sehingga terzahirnya huruf  س  kerana cuba menzahirkan apa yang difahaminya sebagai Sifat Hams. Alangkah besarnya kesilapan ini kerana telah mengubah Makhraj asal Huruf.

·         Huruf  د; ketika menyebutnya
o   Sama seperti Huruf  ت kecuali ianya Huruf berSuara
o   Terdapat Bunyi Lebihan selepas berbaris mati kerana د  adalah Huruf Qalqalah


PERHATIAN

Makhraj Huruf  د  hendaklah dijaga supaya Hujung Lidah tidak lebih ke atas hingga menyentuh Langit-Langit seperti Menyebut Huruf Dee (D) dalam Bahasa Melayu kerana Makhraj Huruf ‘D’ adalah antara Gusi dan Langit-Langit. Oleh itu Huruf  د  tidak sama dengan Huruf ‘D’.

Ketiga-tiga Huruf ini melibatkan keseluruhan Lidah, bukan Hujung Lidah sahaja. Gigi Bawah Hadapan menyokong Bahagian Bawah Lidah Hujung Lidah ketika menyebut ketiga-tiga Huruf-Huruf ini. AlKhalil menggelar mereka sebagai Nita‘iyyah kerana ketiga-tiganya bersifat ‘Keras’ dan menyekat udara ke luar Mulut.

6.      Hujung Lidah dengan Papan Gigi Atas, keluar darinya satu Huruf iaitu
·         Huruf  ض; ketika menyebutnya
o   Keseluruhan Lidah diangkat hingga menyentuh sepanjang Papan Gigi Atas yang setentang dengannya mengakibatkan laluan Nafas ke luar Mulut tertahan
o   Gigi Bawah Hadapan menyokong Bahagian Bawah Lidah Hujung Lidah
o   Sepanjang Perut Lidah diangkat ke Langit-Langit sehingga bersentuh untuk menghasilkan Sifat Itbaq
o   Kedudukan Bibir sedikit kedepan kerana Huruf ض berSifat Isti’la
o   Jika berBaris Mati dalam bacaan Wasal, Huruf selepasnya hendaklah disebut sebelum Suara Huruf ض  tertahan
o   Semasa Wasal ianya boleh dianggap berSifat Rakhawah
o   Huruf  ض  tiada persamaan dengan mana-mana Huruf dalam Bahasa Melayu


MULAHADZAH

Boleh dikatakan kesemua Kitab mengkategorikan Huruf ض sebagai Huruf Tepi Lidah (اللسان حفة), sedangkan ketika menyebutnya Hujung Lidah juga bersentuh dengan Papan Gigi Hadapan. Ini bererti kedudukan Lidah ketika menyebut Huruf ض seakan-akan sama seperti menyebut Huruf  ط, yang kategorikan sebagai Huruf Hujung Lidah. Keadaaan ini mengakibatkan bunyi Huruf  ض  adalah seperti  Huruf  د yang ditebalkan. Oleh itu samada Tepi Lidah bersentuh dengan sebelah sahaja Gigi atau kedua-dua belah, Hujung Lidah tetap bersentuh18 dan saya berpendapat ia bersentuh dengan Gigi Hadapan, maka adalah lebih tepat ianya dikategorikan sebagai Huruf Hujung Lidah seperti Huruf-Huruf Hujung Lidah yang lain sebagaimana yang disusun oleh Dr. Hasan Hasan Jabal dalam Kitab AswatulLughtil‘Arabiyyah.

7.      Hujung Lidah dengan Hujung Gigi Atas, keluar darinya tiga Huruf iaitu
·         Huruf  ظ; ketika menyebutnya
o   Hujung Lidah bersentuh Hujung Gigi-Gigi Atas yang setentang dengannya
o   Tepi Lidah bersentuh Hujung-Hujung Gigi yang sententang dengannya
o   Perut Lidah diangkat ke Langit-Langit (tetapi tidak bersentuh) untuk menghasilkan Sifat Itbaq
o   Nafas mengalir ke luar Mulut dengan tidak tertahan melalui ruang antara Gigi-Gigi Atas
o   Nafas di‘tekan’ di sepanjang Lidah
o   Kedudukan Bibir sedikit kedepan kerana Huruf  ظ berSifat Isti’la
o   Huruf  ظ tiada persamaan dengan mana-mana Huruf dalam Bahasa Melayu

·         Huruf  ذ; ketika menyebutnya
o   Hujung Lidah bersentuh Hujung Gigi Atas yang setentang dengannya
o   Tepi Lidah bersentuh Hujung-Hujung Gigi yang sententang dengannya
o   Nafas mengalir ke luar Mulut dengan tidak tertahan melalui ruang antara Gigi-Gigi Atas
o   Nafas hanya di‘tekan’ di bahagian Hujung Lidah
o   Huruf  ذ tiada persamaan dengan mana-mana Huruf dalam Bahasa Melayu

·         Huruf  ث; ketika menyebutnya
o   Sama seperti Huruf  ذ  kecuali Huruf  ث  adalah Huruf tidak bersuara
o   Huruf  ث  tiada persamaan dengan mana-mana Huruf dalam Bahasa Melayu

Gigi Bawah Hadapan menyokong Bahagian Bawah Lidah Hujung Lidah ketika menyebut ketiga-tiga Huruf-Huruf ini. AlKhalil menggelarkan ketiga-tiga Huruf tersebut sebagai Lithawiyyah kerana ketiga-tiga Huruf ini bersifat ‘Lembut’ dan tidak menyekat laluan suara hingga ke luar Mulut.


8.      Hujung Lidah dengan Gigi Bawah, keluar darinya Tiga Huruf iaitu
·         Huruf  ص ; ketika menyebutnya
o   Hujung Lidah menyentuh Papan Gigi Bawah dan melebar ke bahagian atas Gigi Bawah
o   Tepi Lidah menyentuh Bahagian Gigi Bawah yang setentang dengannya
o   Keseluruhan Perut Lidah diangkat ke Langit-Langit (tetapi tidak bersentuh) untuk menghasilkan Sifat Itbaq
o   Gigi Bawah dinaikkan ke atas searas (bukan sejajar) dengan Gigi Atas
o   Kedudukan Lidah dan Gigi menghasilkan Sifat Safir seperti bunyi yang dibunyikan oleh angsa
o   Nafas tidak tertahan hingga ke Luar Mulut
o   Kedua-dua Bibir sedikit kedepan kerana Sifat Isti’la
o   Perut Bibir Bawah menyentuh sebahagian Gigi Atas seperti Makhraj Huruf  ف
o   Huruf  ص tiada persamaan dengan mana-mana Huruf dalam Bahasa Melayu

·         Huruf  س ; ketika menyebutnya
o   Hujung Lidah menyentuh bahagian atas Papan Gigi Bawah
o   Tepi Lidah menyentuh Bahagian Gigi Bawah yang setentang dengannya
o   Rahang dalam kedudukan sedikit kedepan mengakibatkan Gigi bawah sejajar dengan Gigi Atas dan bersentuh
o   Nafas tidak tertahan hingga ke Luar Mulut
o   Kedudukan Lidah dan Gigi menghasilkan Sifat Safir seperti bunyi belalang
o   Huruf  س  tidak sepenuhnya sama dengan Huruf Ess (S) kerana ketika menyebut kalimah dalam Bahasa Melayu yang mengandungi Huruf S’, kedudukan Gigi Atas dan Bawah tidak sejajar

·         Huruf  ز; ketika menyebutnya
o   Sama seperti Huruf س kecuali Huruf ز adalah bersuara
o   Kedudukan Lidah dan Gigi serta Suara menghasilkan Sifat Safir seperti bunyi lebah
o   Huruf  ز  tidak sepenuhnya sama dengan Huruf Zed (Z) dalam Bahasa Melayu seperti mana Huruf  س  tidak sama dengan Huruf ‘S’

Ketiga-tiga Huruf ini digelar oleh AlKhalil sebagai Asaliyyah. Rahang berada dalam posisinya yang asal (sedikit ke dalam) ketika menyebut semua Huruf-Huruf Abjad kecuali ketika menyebut Huruf-Huruf  س  dan  ز, di mana kedudukan Gigi-Gigi Atas dan Bawah adalah sejajar.

Jumlah Huruf yang keluar dari Bahagian Lidah adalah lapan belas; dua di Pangkal, tiga di Tengah dan tiga belas di Hujung. Sebagaimana juga kedudukan Makhraj Halqum, saya menganggap bahagian Lidah yang lebih dekat dengan Peti Suara sebagai bahagian Pangkal (أدنى – dekat) dan bahagian yang lebih jauh sebagai Hujung (طرف). Hal ini juga berbeza dengan Istilah yang digunakan dalam kebanyakan Kitab yang menganggap sebaliknya iaitu bahagian Lidah yang lebih dekat dengan Tali Suara sebagai اللسان آقصى  .


IV.                BIBIR

Bahagian Bibir yang memainkan peranan pergerakan adalah Bibir sebelah Bawah. Terdapat dua Makhraj di bahagian Bibir.

1.      Gigi Atas dengan Perut Gigi Bawah, keluar darinya satu Huruf iaitu
·         Huruf  ف; ketika menyebutnya
o   Gigi Atas ditekan sekuat mungkin pada Perut Bibir Bawah
o   Udara mengalir ke luar Mulut melalui ruang-ruang asal antara Gigi-Gigi Atas

2.      Bibir Atas dan Bibir Bawah, keluar darinya tiga Huruf iaitu
·         Huruf  ب; ketika menyebutnya
o   Kedua-dua Bibir Atas dan Bibir Bawah bersentuh mengakibatkan udara tidak mengalir ke luar melalui Mulut
o   Terdapat Suara Lebihan ketika berBaris Mati kerana sifat Qalqalah

·         Huruf  م; ketika menyebutnya
o   Kedua-dua Bibir Atas dan Bibir Bawah bersentuh mengakibatkan Udara tidak mengalir keluar melalui Mulut
o   Laluan ke Rongga Hidung terbuka

·         Huruf  و; ketika menyebutnya
o   Bibir Atas dan Bibir Bawah hampir bersentuh
o   Bibir Atas dan Bibir Bawah memuncung seperti menyebut Baris Depan
o   Udara mengalir ke luar Mulut dengan tidak tertahan

Terdapat empat Huruf yang keluar dari bahagian Bibir. Keempat-empat Huruf ini digelar Syafawiyyah atau Syafahiyyah oleh AlKhalil. Kedudukan Lidah dalam keadaan asalnya ketika menyebut Huruf-Huruf  ب, م  dan و  (tidak menyentuh mana-mana bahagian Mulut).

Jadi terdapat dua puluh lapan Huruf Asli yang keluar dari empat Makhraj Kulli dan empat belas Makhraj Juz‘i.  Satu Huruf keluar dari Makhraj Tali Suara, lima Huruf keluar dari tiga Makhraj Halqum, lapan belas Huruf Keluar dari lapan Makhraj Lidah dan empat Huruf keluar dari dua Makhraj Bibir. Susunan Huruf-Huruf tersebut mengikut Makhraj ialah seperti berikut :

و م ب ف ز س ص ث ذ ظ ض د ت ط ر ن ل ش ي ج ك ق خ غ ح ع ه ء